
Perdana Menteri rejim Israel, Benjamin Netanyahu telah berlepas ke Washington pada Isnin bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di tengah-tengah konflik berterusan di Gaza dan ketegangan serantau yang semakin memuncak.
Menurut laporan media Israel, pesawat rasmi Wing of Zion yang membawa Netanyahu berlepas dari Pangkalan Udara Nevatim berhampiran Bi'ru al-Sabi' (Beersheba) sekitar jam 1 petang waktu tempatan, kira-kira dua jam lewat daripada jadual asal. Pejabat Netanyahu tidak menjelaskan punca kelewatan itu atau sebab dia berlepas dari pangkalan tentera dan bukannya Lapangan Terbang Ben Gurion. Tiada wartawan dibenarkan mengikuti penerbangan tersebut.
Tidak lama sebelum pesawat berlepas, tentera rejim Israel memaklumkan bahawa dua dron dikesan berhampiran sempadan Jordan dan berjaya dipintas sebelum memasuki ruang udara Israel. Tentera Jordan kemudiannya mengesahkan pihaknya turut menembak jatuh dua dron yang menyasarkan negara itu tanpa menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan.
Netanyahu dijadual bertemu Trump pada Selasa dengan isu Iran, Gaza serta perkembangan keselamatan serantau dijangka menjadi agenda utama perbincangan. Terdahulu, Trump berkata Washington sedang mengadakan rundingan yang ‘baik’ dengan Iran dan optimis terhadap kemungkinan mencapai satu perjanjian, namun memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan akan disambung semula sekiranya usaha diplomatik gagal.
Apabila ditanya mengenai pendiriannya dengan Netanyahu berhubung Iran, Trump berkata kedua-duanya ‘hampir sehaluan’, walaupun mengakui masih terdapat sedikit perbezaan dalam pendekatan mereka.
Lawatan Netanyahu ke AS berlangsung walaupun dia masih berdepan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November 2024 atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan operasi ketenteraan rejim Israel di Gaza. Bekas Menteri Pertahanan rejim Israel, Yoav Gallant turut dikenakan waran yang sama.
Pada Ahad, Netanyahu menegaskan dia tetap akan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York hujung tahun ini walaupun berdepan gesaan supaya dia ditahan.
Minggu lalu, Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menyifatkan Netanyahu sebagai penjenayah perang dan menggesa pihak berkuasa AS melaksanakan waran ICC sekiranya dia memasuki negara itu.
Bagaimanapun, Trump menolak gesaan tersebut dengan menyatakan bahawa Netanyahu tidak akan ditahan ketika berada di AS.
Lawatan itu berlangsung ketika rejim Israel terus meneruskan serangan ketenteraan di Gaza, dengan perbincangan dijangka turut memfokuskan kepada penyelarasan dasar AS dan Israel berhubung Gaza, Iran serta keselamatan serantau selepas beberapa bulan ketegangan ketenteraan yang semakin memuncak.
Sumber: The Palestine Chronicle