Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Qatar mengesahkan bahawa rundingan tidak langsung antara HAMAS dan rejim Israel bagi mencapai perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza masih giat dijalankan dengan beberapa laporan menyebut terdapat kemajuan ketara dalam tempoh 24 jam lalu.


Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed al-Ansari menyatakan dalam sidang media pada Selasa bahawa rundingan masih berlangsung di Doha. “Tiada kebuntuan. Komunikasi berlaku setiap hari sama ada di Doha, Amerika Syarikat (AS) atau Mesir dalam usaha mempercepatkan perjanjian,” katanya.


Menurut al-Ansari, pertemuan diadakan secara berasingan antara HAMAS dan rejim Israel bagi merangka asas perjanjian menyeluruh. Rundingan tidak langsung itu bermula pada 6 Julai lalu di Doha dengan matlamat mencapai persetujuan yang merangkumi gencatan senjata dan pertukaran tahanan.


Media rejim Israel turut melaporkan bahawa rundingan di Doha mencatatkan kemajuan yang drastik. Saluran 13 memetik kenyataan seorang pegawai Israel yang menjelaskan bahawa laluan ke arah perjanjian kini terbuka dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah meluluskan syarat tambahan, termasuk kemungkinan pengunduran sementara tentera dari Gaza selama 60 hari.


Difahamkan perubahan tersebut susulan daripada keputusan Netanyahu dan Kabinet Keselamatan Israel yang melonggarkan syarat mereka untuk memenuhi pendirian HAMAS, khususnya berkaitan kehadiran tentera rejim di Gaza.

Namun begitu, laporan turut menyebut bahawa Netanyahu enggan menamatkan perang secara keseluruhan meskipun berminat untuk memuktamadkan perjanjian dalam masa terdekat. Sebaliknya, cadangan semasa hanya melibatkan jeda sementara dalam operasi ketenteraan, dengan kemungkinan serangan disambung selepas tempoh 60 hari.


Tiada sebarang komen rasmi daripada HAMAS mahupun pihak pengantara berhubung laporan media Israel itu setakat ini.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
July 16, 2025