
Pejabat Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan sokongan terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan serangan ke atas Iran, namun menegaskan bahawa gencatan senjata dua minggu itu tidak meliputi operasi ketenteraan Zionis di Lubnan.
Dalam kenyataan di platform X pada Rabu, Netanyahu berkata rejim haram Israel menyokong usaha Presiden AS, Donald Trump untuk memastikan Iran tidak lagi menjadi ancaman nuklear, peluru berpandu dan keganasan kepada Amerika, Israel, negara-negara Arab lain dan dunia.
Namun, dia menegaskan bahawa gencatan senjata tersebut tidak termasuk Lubnan.
Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengumumkan bahawa AS, Iran dan sekutu mereka telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta di semua kawasan, termasuk Lubnan dan lain-lain.
Lubnan mula terlibat dalam konflik AS-Israel dengan Iran pada 2 Mac selepas Hizbullah yang merupakan rakan proksi Tehran melancarkan serangan ke atas negara haram Israel.
Hizbullah menyatakan serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada hari pertama perang pada 28 Februari, serta pelanggaran hampir setiap hari oleh penjajah terhadap gencatan senjata di Lubnan yang dipersetujui pada November 2024.
Menurut pihak berkuasa Lubnan, serangan penjajah sejak 2 Mac telah mengorbankan lebih 1,500 orang dan menyebabkan lebih 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal. Tentera Zionis juga telah melancarkan pencerobohan di selatan Lubnan dengan tujuan mewujudkan zon penampan.
Setakat ini, tiada kenyataan segera daripada Hizbullah atau kerajaan Lubnan berhubung pengumuman Netanyahu.
Wartawan Al Jazeera, Zeina Khodr melaporkan dari Beirut bahawa penglibatan Hizbullah dalam konflik ini telah meluaskan skop peperangan dan memberi tekanan kepada Zionis di pelbagai sudut.
Menurut beliau, Hizbullah melihat penyertaan bersama Iran dalam rundingan sebagai peluang untuk meningkatkan pengaruh politik, khususnya selepas mengkritik kerajaan Lubnan kerana gagal memastikan Zionis mematuhi syarat gencatan senjata 2024.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak penjajah enggan berundur dari selatan Lubnan, membebaskan tahanan atau membenarkan penduduk kembali ke rumah mereka.
Persoalan kini ialah sama ada isu konflik Israel-Hizbullah akan dibincangkan dalam rundingan akan datang antara Iran dan AS.Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, percaya Iran memainkan peranan dalam kempen ketenteraan Hizbullah di selatan Lubnan, menjadikan rundingan dua minggu akan datang sangat penting bagi negara itu.“Pada akhirnya, Israel mahukan jaminan keselamatan dan itu sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh kerajaan Lubnan,” kata Khodr.
Sumber: Al Jazeera