Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan bahawa Israel kini bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenal pasti negara-negara yang berpotensi menerima pelarian Palestin dari Gaza. Kenyataan itu dilihat sebagai satu langkah tersirat ke arah pemindahan paksa penduduk Palestin dari wilayah yang sekian lama dikepung dan dibedil.
“Jika rakyat mahu tinggal, mereka boleh tinggal di sini. Tetapi jika mereka mahu meninggalkan Gaza, mereka sepatutnya boleh keluar. Ia tidak sepatutnya menjadi sebuah penjara, tetapi sebuah tempat terbuka,” kata Netanyahu kepada wartawan.
“Kami bekerjasama erat dengan AS untuk mengenal pasti negara-negara yang benar-benar bersedia merealisasikan apa yang mereka pernah nyatakan sebelum ini — iaitu memberi masa depan yang lebih baik kepada rakyat Palestin. Saya percaya kita semakin hampir menemui beberapa negara yang bersedia berbuat demikian,” katanya lagi.
Netanyahu menekankan bahawa rakyat Palestin patut diberikan kebebasan untuk memilih sama ada untuk terus menetap di Gaza atau berpindah ke luar negara.
Presiden AS, Donald Trump yang turut mengulas isu itu, berkata: “Kami telah mendapat kerjasama yang baik daripada negara-negara sekitar Israel. Sesuatu yang baik akan berlaku.”
Sebelum ini, dalam satu lawatan Netanyahu ke Rumah Putih pada Februari lalu, Trump secara terbuka menyatakan bahawa AS akan ‘mengambil alih’ dan ‘memiliki’ Gaza, sambil menyatakan rakyat Palestin akan dipindahkan ke negara-negara lain.
Kenyataan-kenyataan ini menimbulkan kebimbangan terhadap wujudnya usaha sistematik ke arah pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dari Gaza ketika Israel berdepan tuduhan antarabangsa berkaitan jenayah perang dan genosid.
Sumber: Al Jazeera