Menurut laporan media, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir bagi meyakinkan mereka bahawa operasi ketenteraan di Gaza boleh diteruskan meskipun perjanjian dicapai dengan HAMAS.
Langkah itu diambil susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan kerajaan pimpinan Netanyahu runtuh sekiranya parti sayap kanan ultra nasionalis, Religious Zionist yang dipimpin Smotrich serta parti Jewish Power pimpinan Ben Gvir, menarik sokongan sebagai tanda protes terhadap sebarang perjanjian dengan HAMAS.
Menurut saluran televisyen i24NEWS, Netanyahu merancang untuk mengadakan perbincangan terperinci dengan kedua-dua menteri tersebut berhubung rundingan pertukaran tahanan dan gencatan senjata yang sedang berlangsung bersama HAMAS.
Sejak minggu lalu, rundingan tidak langsung antara rejim Israel dan HAMAS telah berlangsung di Qatar dalam usaha terbaru untuk mencapai persetujuan bersama.
Laporan itu turut menyebut bahawa Netanyahu akan menekankan dalam pertemuan tersebut bahawa tindakan ketenteraan di Gaza boleh diteruskan selepas sebarang perjanjian ditandatangani, sebagai usaha meyakinkan kedua-dua menteri berhaluan kanan ekstrem dan mengekalkan sokongan mereka dalam gabungan kerajaan.
Ketika ini, kerajaan pimpinan Netanyahu menguasai 68 daripada 120 kerusi di Knesset dan memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi untuk mengekalkan majoriti serta memastikan kestabilan pentadbiran.
Sumber: Middle East Monitor