Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu berkata kerajaannya merancang untuk melanjutkan tempoh khidmat tentera wajib ketika rejim negaranya berdepan kekurangan anggota yang semakin serius, lapor saluran Israel KAN pada Khamis.


Netanyahu membuat kenyataan itu dalam mesyuarat kabinet keselamatan sebagai respons kepada Ketua Turus Tentera, Eyal Zamir yang memberi amaran bahawa rejim tentera boleh runtuh jika krisis ini tidak ditangani.


Dia turut berkata bahawa kerajaan akan mengkaji semula undang-undang kerahan tenaga dan melanjutkan tempoh perkhidmatan selepas cuti perayaan Paskah Yahudi.


Menolak bantahan penasihat undang-undang kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Pertahanan Knesset berhubung usaha melonggarkan syarat kerahan bagi golongan Yahudi ultra-Ortodoks, Netanyahu menegaskan: “Peranan dia adalah memberi nasihat, manakala keputusan terletak di tangan kami.”


Setiausaha Kabinet, Yossi Fuchs berkata kerajaan akan meneliti kedua-dua langkah tersebut iaitu melanjutkan tempoh perkhidmatan dan memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan kerahan sejurus selepas perayaan tersebut.


Jurucakap tentera haram Israel, Effie Defrin berkata tentera kini menghadapi kekurangan kira-kira 15,000 anggota, termasuk 8,000 tentera tempur.


Pegawai tentera haram Israel menyatakan bahawa peningkatan keperluan operasi, termasuk operasi berterusan di Gaza, serangan ke atas Iran dan Lubnan serta pengawalan penempatan haram di Tebing Barat menjadi faktor utama kekurangan ini.


Mereka turut memberi amaran bahawa walaupun misi semakin bertambah, jumlah anggota tentera semakin berkurangan.


Isu kerahan Yahudi ultra-Ortodoks (Haredi) turut mencetuskan krisis politik di negara haram itu, apabila rakan sekutu Netanyahu dari kalangan Haredi memboikot undian parlimen berkaitan undang-undang tersebut.


Di bawah undang-undang semasa, lelaki Israel diwajibkan menjalani khidmat tentera selama 32 bulan, manakala wanita selama 24 bulan. Cadangan untuk melanjutkan tempoh tersebut kepada 36 bulan kini sedang dibincangkan.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
March 27, 2026