Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Netanyahu: Serangan Terkini Israel ke atas Gaza ‘Hanyalah Permulaan’

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa penyambungan semula serangan pembunuhan di semenanjung Gaza 'hanyalah permulaan.' Dia turut memberi amaran bahawa sebarang rundingan akan datang bakal berlangsung dalam keadaan serangan yang berterusan.

Dalam satu ucapan yang disiarkan oleh penyiar awam Israel, Netanyahu mendakwa,

 

“Kami telah melanjutkan gencatan senjata selama berminggu-minggu meskipun tiada tawanan dibebaskan sebagai balasan.”

Media Israel melaporkan pada Khamis lalu bahawa Witkoff telah mengemukakan cadangan baharu kepada kedua-dua pihak, yang merangkumi pembebasan lima tawanan Israel sebagai pertukaran untuk gencatan senjata selama 50 hari, pembebasan tahanan Palestin, akses bantuan kemanusiaan, serta rundingan mengenai fasa kedua gencatan senjata tiga peringkat.

Manakala pada Jumaat, HAMAS mengumumkan penerimaan cadangan para perantara, bersetuju untuk membebaskan seorang askar Israel-Amerika serta empat mayat tawanan Israel yang mempunyai dua kerakyatan sebagai sebahagian daripada rundingan fasa kedua gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan.

Balas Netanyahu,

 “Saya telah memberi amaran kepada HAMAS, jika mereka tidak membebaskan tawanan kami, kami akan meneruskan pertempuran dan kini kami telah melaksanakannya.”

Israel menganggarkan seramai 59 rakyatnya masih ditahan di Gaza, 24 daripadanya masih hidup. Sebaliknya, lebih daripada 9,500 rakyat Palestin kekal meringkuk di penjara Israel, berdepan penyeksaan, penafian hak, serta pengabaian perubatan.

Ia telah meragut banyak nyawa menurut laporan hak asasi manusia Palestin dan Israel.

“Ini hanyalah permulaan. Mulai sekarang, kami akan bertindak terhadap HAMAS dengan serangan yang lebih dahsyat, hanya berunding di bawah serangan, dan akan terus berjuang hingga mencapai semua matlamat peperangan,”

ujar Netanyahu.

Walaupun Tel Aviv menjadikan isu tawanan dan ancaman dari Gaza sebagai alasan utama serangannya, penganalisis Israel mengaitkan pembunuhan beramai-ramai yang disambung semula dengan usaha Netanyahu untuk meluluskan belanjawan serta mengelakkan kejatuhan kerajaannya sebelum akhir Mac.

Dengan meneruskan serangan, Netanyahu berjaya mendapatkan kembali sokongan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, dalam kerajaan gabungan, sekali gus memastikan parti sayap kanan ekstremnya, Otzma Yehudit menyokong belanjawan 2025.

Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
March 19, 2025