Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Mesir sedang menggiatkan usaha diplomatik bagi menyelamatkan perjanjian gencatan senjata di Gaza selepas Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu menolak persefahaman yang dicapai di Kaherah.


Menurut sumber Mesir yang dipetik daripada akhbar Asharq al-Awsat, Kaherah kini menjalankan rundingan intensif dengan para pengantara dan rakan kongsi bagi memastikan perjanjian tersebut tidak terbatal.


Sumber itu berkata usaha berkenaan dilakukan ketika Netanyahu didakwa meletakkan pelbagai halangan terhadap pelaksanaan perjanjian dan tidak mempunyai pendekatan selain meningkatkan ketegangan bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.


Sumber tersebut turut melaporkan masih terdapat harapan terhadap peranan lebih besar oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghalang peningkatan ketegangan di Gaza.


Beliau menjangkakan Netanyahu mungkin menghantar delegasi selepas menerima tekanan daripada Washington bagi memulakan rundingan baharu mengenai persefahaman yang dicapai di Kaherah pada akhir Julai lalu.


Bagaimanapun, sumber itu berkata langkah tersebut berkemungkinan digunakan untuk melengahkan proses dan melanjutkan tempoh rundingan, sementara para pengantara dijangka mengemukakan mekanisme baharu yang boleh dipersetujui bagi menghalang rejim Israel daripada mengelak tanggungjawabnya terhadap perjanjian.


Pada akhir Julai lalu, perjanjian gencatan senjata di Gaza memasuki fasa baharu susulan persefahaman antara para pengantara dan HAMAS. Trump ketika itu menyambut baik perjanjian tersebut dan menyifatkannya sebagai satu perkara bersejarah.


Namun, Netanyahu kemudian menyatakan pada awal mesyuarat kabinet bahawa rejim Israel menolak dokumen yang mengandungi 15 perkara berkenaan.


Netanyahu turut menegaskan bahawa tentera rejim Israel tidak akan berundur sepenuhnya dari Gaza sehingga HAMAS benar-benar melucutkan senjatanya.


"Kami sedang membincangkan perkara ini dengan pihak Amerika. Mereka mempunyai beberapa idea yang boleh kami terima dan beberapa yang lain tidak boleh kami terima," kata Netanyahu, sambil menambah bahawa rejim Israel tahu bagaimana untuk menangani perkara tersebut.


Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre

Written by
Admin
Published on
August 10, 2026