Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu akhbar Daily Mail bahawa kerajaan Perdana Menteri Britain yang baharu, Sir Keir Starmer tidak memberi mesej yang jelas berkaitan sokongan United Kingdom (UK) terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri.
Dia menyifatkan keputusan London untuk menggantung lesen senjata kepada Israel sebagai satu kesilapan.
Jelas Netanyahu, kerajaan UK sebelum ini menunjukkan sokongan yang jelas kepada Israel susulan daripada insiden pada 7 Oktober. Tetapi kerajaan UK pada hari ini memberi respons yang berbeza:
Mereka menyatakan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri. Tetapi mereka berpaling arah hanya berdasarkan tuduhan yang dibuat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan melemahkan keupayaan kami untuk mendapatkan hak itu dengan menyekat penjualan senjata kepada Israel yang digunakan untuk melawan pengganas genosid pada 7 Oktober.
Netanyahu turut memberitahu bahawa Israel sedang berjuang dalam perang yang adil menggunakan cara yang sah, serta mengambil langkah luar biasa untuk melindungi orang awam dan mematuhi undang-undang antarabangsa sepenuhnya.
Embargo senjata oleh UK dibuat selepas beberapa hari penemuan mayat enam tebusan Israel di terowong-terowong di selatan Gaza. Difahamkan kerajaan UK menggantung 30 lesen senjata untuk Israel dan secara tidak langsung menghantar mesej yang salah kepada HAMAS.
Sumber: The Jerusalem Post, Haaretz