Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa Israel akan kembali melancarkan pertempuran sengit dan perang berskala penuh sekiranya HAMAS tidak membebaskan tawanan pada Sabtu, seperti yang dipersetujui dalam fasa pertama gencatan senjata.
Pada 11 Februari, HAMAS menyatakan Israel telah melanggar perjanjian dengan tidak membenarkan bantuan kemanusiaan yang penting memasuki Gaza, terutamanya khemah dan bangunan sementara untuk menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal. Selain itu, melengahkan kepulangan penduduk awam ke utara Gaza, menyerang penduduk dengan pengeboman dan tembakan, melambatkan kemasukan bekalan perubatan yang diperlukan hospital dan bahan untuk membaik pulih kemudahan kesihatan.
Namun, Netanyahu menuduh HAMAS sebagai pihak yang melanggar perjanjian tersebut. Beliau memberi amaran bahawa jika tawanan Israel tidak dibebaskan menjelang tengah hari hujung minggu ini, perang akan disambung semula.
Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka kini dalam proses meluluskan rancangan untuk kembali berperang. Cuti anggota tentera telah dibatalkan, dan pasukan simpanan turut dipanggil semula di sekitar Gaza sebagai persediaan untuk kemungkinan perang berulang.
Sementara itu, para perantara sedang berusaha di belakang tabir untuk menekan kedua-dua pihak agar mematuhi gencatan senjata. Ahli keluarga tawanan Israel berterusan turun ke jalan raya, menuduh Netanyahu cuba menggagalkan perjanjian dan menjadi penghalang utama kepada penyelesaian.
Namun, anggota kerajaan sayap kanan Netanyahu menyokong untuk perang semula dengan menyatakan bahawa ini adalah matlamat mereka sejak awal.
Minggu ini bakal menjadi detik penentu bagi rantau tersebut, sama ada Israel dan HAMAS kembali berperang atau melanjutkan tempoh gencatan senjata.
Sumber: Al Jazeera, HAMAS