.png)
Menurut Pengarah Rangkaian Pertubuhan Bukan Kerajaan di Gaza, Muhammad Saleh, lebih 93 peratus tanah perkuburan di Gaza telah terjejas akibat operasi pengorekan dan pemusnahan yang dilakukan rejim Israel.
Saleh memberi amaran bahawa operasi tersebut boleh menghapuskan bukti jenayah dan menyukarkan usaha mendapatkan keadilan serta akauntabiliti di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata kerja-kerja pengorekan dan pemindahan runtuhan menyukarkan usaha mengenal pasti lokasi pengebumian serta akses kepada bukti yang membantu mengenal pasti mangsa yang dikebumikan di kawasan terjejas.
Menurutnya, jasad mangsa, barangan peribadi dan sisa persenjataan yang mungkin menjadi bukti turut berisiko tertimbus, musnah atau hilang akibat proses pemindahan dan penghancuran runtuhan di kawasan yang berada di bawah kawalan tentera rejim Israel.
Saleh berkata keadaan itu turut menyukarkan usaha pasukan berkaitan untuk mengenal pasti mangsa dan mengeluarkan jasad serta jenazah yang masih tertimbus.
Beliau menambah bahawa pasukan hak asasi manusia, antarabangsa dan bantuan kemanusiaan turut dihalang daripada memasuki kawasan yang terletak di sepanjang garisan kuning, sekali gus menyukarkan usaha dokumentasi dan siasatan di lapangan.
Sehubungan dengan itu, Saleh menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menghantar pasukan pencari fakta dengan segera ke Gaza bagi meneliti kesan kemusnahan dan mendokumentasikan bukti berkaitan.
Menurut laporan tersebut, rejim Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, yang mengakibatkan lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 174,000 lagi cedera, selain kemusnahan terhadap kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah berkenaan.
Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre