Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pada Isnin lalu, Palestin mengecam undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen wilayah haram Israel, Knesset, yang menetapkan hukuman gantung sampai mati sebagai hukuman standard bagi tahanan Palestin di Tebing Barat yang diduduki atas dakwaan membunuh warga haram Israel, serta menyifatkannya sebagai satu jenayah perang.


“Undang-undang ini merupakan pelanggaran serius dan terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva Keempat, yang menjamin perlindungan kepada individu serta hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil,” menurut Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi WAFA.


“Undang-undang ini merupakan satu jenayah perang terhadap rakyat Palestin dan merupakan sebahagian daripada dasar serta langkah yang semakin meningkat oleh pihak berkuasa pendudukan di seluruh wilayah Palestin, termasuk Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur,” tambahnya.


PA menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil pendirian tegas untuk menghentikan pelanggaran ini dan memastikan rejim Israel dipertanggungjawabkan.


PA turut memberi amaran tentang kesan serius daripada undang-undang bersifat perkauman seperti ini, yang akan meningkatkan ketegangan serta mengancam peluang untuk mencapai keselamatan dan kestabilan di rantau ini.


Kementerian Luar Palestin turut mengutuk undang-undang tersebut sebagai satu peralihan berbahaya ke arah ‘menghalalkan’ genosid, serta mengamalkan hukuman bunuh tanpa proses kehakiman.


Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa undang-undang berkenaan meletakkan rejim Israel dalam pertembungan langsung dengan undang-undang antarabangsa, sambil menggesa masyarakat antarabangsa agar mengenakan sekatan terhadap Israel, memulaukan ‘negaranya’, mengaktifkan mekanisme akauntabiliti, serta mempergiat usaha melindungi tahanan Palestin.


Mustafa Barghouti, Setiausaha Agung Inisiatif Nasional Palestin turut memberi amaran mengenai keseriusan undang-undang tersebut, yang menurutnya akan menyasarkan tahanan politik Palestin serta para aktivis.


Dalam satu hantaran di X, beliau menyatakan bahawa cadangan undang-undang yang tidak adil dan tidak berperikemanusiaan ini mencerminkan sejauh mana peralihan ke arah fahaman fasis dalam sistem rejim Israel, di tengah-tengah kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengenakan tindakan hukuman terhadapnya.

Undang-undang ini, yang diperjuangkan oleh Menteri Keselamatan Negara wilayah haram Israel berhaluan Itamar Ben-Gvir dilihat meraikannya dengan minuman beralkohol di dalam dewan parlimen selepas undang-undang itu diluluskan dengan 62 undi menyokong berbanding 48 menentang.


“Kita telah mencipta sejarah,” tulis Ben-Gvir dalam satu hantaran media sosial sambil menolak desakan antarabangsa supaya menarik balik undang-undang tersebut. Tambahnya, “Saya juga ingin katakan kepada Kesatuan Eropah (EU) yang telah memberi tekanan dan mengugut Israel; Kami tidak takut, kami tidak akan tunduk,” katanya.


Undang-undang yang diluluskan dalam bacaan kedua dan ketiga itu turut diundi dan disokong oleh Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu. 


Sumber: Anadolu Ajansi, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
March 31, 2026