
Serangan udara dan dron rejim Zionis Israel yang berterusan di beberapa buah kawasan di selatan Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang, termasuk seorang paramedik manakala 48 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan. Serangan yang berlaku sejak Isnin hingga Selasa itu menyasarkan kawasan kediaman, kenderaan awam, kemudahan kesihatan dan infrastruktur di beberapa buah wilayah termasuk Nabatieh, Bint Jbeil, Tyre dan Saida.
Menurut laporan media tempatan, empat warga Syria terbunuh selepas sebuah dron rejim Israel menyerang Jalan Mayadeen di kawasan al-Housh, selatan Lubnan. Dalam serangan berasingan, dua rakyat Palestin turut terbunuh apabila satu serangan udara menyasarkan laluan al-Maamoura–al-Housh.
Di Burj al-Shamali, dua individu termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan terbunuh, manakala 32 lagi cedera, termasuk empat rakyat Palestin. Sementara itu, tiga lagi mangsa terbunuh dalam serangan di bandar Abba, termasuk seorang wanita dan seorang warga Syria.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang anggota paramedik, Ali Salman Nader yang berkhidmat dengan Persatuan Ambulans Kesihatan Al-Risala terbunuh selepas sebuah dron Israel menyasarkan kawasan al-Ain di Arab Salim. Serangan kedua turut dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran, al-Lubana. Serangan Israel turut menyasarkan sebuah pusat kesihatan di bandar Arzoun. Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, kemudahan tersebut mengalami kerosakan akibat serangan berkenaan.
Kementerian Kesihatan Lubnan turut memaklumkan bahawa Hospital Kerajaan Tebnine mengalami kerosakan akibat serangan pihak rejim, dengan 11 individu cedera termasuk seorang doktor dan lima kakitangan hospital.Dalam satu kenyataan, kementerian yang sama turut mengecam serangan terhadap institusi perubatan dan menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa yang melindungi kemudahan kesihatan ketika konflik bersenjata berlangsung.
Pada masa sama, tentera rejim Zionis juga dilaporkan telah memperluas skala serangannya apabila sebuah dron menyasarkan sebuah kenderaan di Khaldeh, selatan Beirut, kawasan yang sebelum ini jarang menjadi sasaran serangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Tentera rejim Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk beberapa kawasan di selatan Lubnan termasuk Erzay, Mazraat Kawthariyat al-Ruz dan al-Zarariyah, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan operasi ketenteraan dalam tempoh terdekat.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan bahawa tiga serangan berturut-turut turut dilancarkan di kawasan A'reed Marjeyoun pada awal pagi Rabu. Letupan yang berlaku menyebabkan kerosakan besar terhadap rumah penduduk, premis perniagaan dan harta benda di kawasan sekitar.
Serangan terbaru itu berlaku ketika rejim Zionis Israel terus melancarkan operasi ketenteraan di selatan Lubnan meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa. Pihak berkuasa Lubnan dan pertubuhan kemanusiaan berulang kali memberi amaran bahawa serangan terhadap kawasan kediaman, infrastruktur awam dan kemudahan kesihatan bukan sahaja mengancam keselamatan orang awam, malah berpotensi menjejaskan usaha mengekalkan gencatan senjata yang sedang berlangsung.
Sumber: The Palestinian Chronicle