Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Parlimen Israel, Knesset telah meluluskan undang-undang tidak terikat (non-binding) untuk merampas wilayah Tebing Barat yang diduduki secara paksa. Usul tersebut disokong oleh 71 daripada 120 ahli parlimen, manakala hanya 13 pengundi menentang.


Walaupun tidak mempunyai kuasa undang-undang, usul ini memberi isyarat jelas wujudnya sokongan meluas dalam kalangan kepimpinan rejim Zionis untuk melaksanakan kedaulatan sepenuhnya ke atas wilayah Palestin yang diduduki.


Ahli-ahli parlimen dari semua parti gabungan kerajaan menyokong usul berkenaan, termasuk parti pembangkang sayap kanan Yisrael Beytenu. Usul tersebut dibentangkan oleh ahli Knesset – Simcha Rothman (Zionisme Agama), Dan Illouz (Likud), dan Oded Forer (Yisrael Beytenu).


Menteri Kehakiman, Yariv Levin turut menyatakan sokongan terhadap langkah itu dan akan menyokong mana-mana resolusi terikat yang dibentangkan pada masa akan datang.


Dalam usul tersebut, Tebing Barat dirujuk sebagai Judea dan Samaria – terma yang digunakan dari teks suci Yahudi. Ia menyeru perluasan undang-undang, mahkamah dan pentadbiran rejim Israel ke atas semua penempatan haram Israel di wilayah berkenaan.


Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir pula menggesa agar rejim Israel melaksanakan kawalan penuh dan mutlak ke atas Gaza selepas pembunuhan beramai-ramai berakhir.


Langkah ini bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah secara langsung menafikan sebarang kemungkinan penyelesaian dua negara yang telah lama dicadangkan oleh masyarakat antarabangsa.


Walaupun tidak terikat secara undang-undang, usul ini mencerminkan peralihan ketara dalam politik Israel ke arah dasar ultra-nasionalis dan perluasan wilayah secara unilateral. 


Pada tahun lalu, Knesset turut meluluskan usul serupa yang menolak penubuhan negara Palestin.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 24, 2025