
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa 87 orang terbunuh dalam serangan rejim Israel ke atas Lubnan sepanjang hujung minggu lalu.
Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, berkata situasi kemanusiaan di Lubnan terus merosot susulan peningkatan serangan ketenteraan rejim Israel. Dalam sidang media di Ibu Pejabat PBB di New York, beliau memaklumkan bahawa lebih 100 serangan dilaporkan dalam tempoh 24 jam, manakala 87 korban direkodkan sepanjang hujung minggu.Menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan, sekurang-kurangnya 2,846 orang terbunuh dan 8,693 lagi cedera sejak konflik semakin memuncak.
Haq turut memaklumkan bahawa dua petugas kesihatan di bawah Jawatankuasa Kesihatan Islam terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan fasiliti kesihatan, manakala beberapa lagi cedera. Dalam masa sama, World Health Organization (WHO) melaporkan sebanyak 158 serangan Israel terhadap sektor kesihatan di Lubnan sejak 2 Mac, mengorbankan 108 orang dan mencederakan 249 yang lain.
Beliau berkata tiga hospital dan 41 pusat kesihatan di selatan Lubnan masih ditutup, manakala beberapa lagi hanya beroperasi secara separa. Enam hospital pakar wanita yang sebelum ini menghentikan operasi juga masih belum dibuka semula.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 17 April, tentera rejim Israel terus melancarkan serangan ke atas selatan Lubnan. Antara kawasan yang diserang termasuk Aba, Yatir dan Haris, menyebabkan beberapa kematian dan kecederaan, termasuk akibat serangan dron ke atas kenderaan awam.
Kerajaan Lubnan turut mengumumkan bahawa jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini melebihi satu juta orang.Pada 24 April lalu, Donald Trump mengumumkan bahawa gencatan senjata sementara antara Lubnan dan Israel dilanjutkan selama tiga minggu lagi. Namun, serangan rejim Israel serta tindakan merobohkan rumah penduduk di selatan Lubnan masih berterusan, manakala Hezbollah terus melancarkan serangan balas dengan mendakwa Israel melanggar perjanjian gencatan senjata.
Sumber: Anadolu Ajansi