Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Laporan daripada Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin Terjajah dan Israel mendedahkan kerajaan haram Israel telah melakukan jenayah berbentuk pemusnahan dengan menyerang orang awam Palestin yang berlindung di sekolah dan tempat ibadah di Gaza.

Suruhanjaya tersebut membuat dakwaan itu dalam satu laporan yang dikeluarkan pada hari Selasa. Menurut laporan itu, rejim Israel telah melakukan jenayah perang, termasuk menyerang orang awam dan melakukan pembunuhan dengan sengaja, dalam serangan ke atas kemudahan pendidikan sehingga banyak nyawa terkorban. 

Menerusi satu kenyataan rasmi, pengerusi suruhanjaya tersebut, Navi Pillay yang juga mantan Pengerusi Tertinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia berkata, “Kami melihat semakin banyak bukti bahawa Israel sedang melancarkan satu kempen bersepadu untuk menghapuskan kehidupan rakyat Palestin di Gaza.”

Ujarnya lagi: “Walaupun kemusnahan harta kebudayaan, termasuk kemudahan pendidikan, bukanlah satu tindakan genosid secara langsung, tetapi perlakuan tersebut membuktikan niat memusnahkan satu kumpulan yang dilindungi.” 

“Sasaran rejim Israel terhadap kehidupan beragama, budaya dan pendidikan akan menjejaskan generasi masa kini dan akan datang, sekaligus berpotensi untuk menafikan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri.”

Laporan tersebut menyatakan bahawa lebih 90 peratus bangunan sekolah dan universiti di Gaza telah rosak atau musnah. ,Manakala lebih separuh daripada semua tapak keagamaan dan budaya di wilayah itu telah dimusnahkan.

Walaupun laporan ini memfokuskan kepada impak di Gaza, suruhanjaya turut melaporkan kesan ketara terhadap sistem pendidikan Palestin di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur akibat peningkatan aktiviti ketenteraan Israel, gangguan terhadap pelajar dan serangan oleh penjajah haram.

Laporan ini akan dibentangkan secara rasmi kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNGA) pada 17 Jun 2025. Israel telah menarik diri daripada majlis tersebut pada Februari lalu setelah menuduh laporan itu bersifat berat sebelah.

Pada Mac lalu, laporan suruhanjaya telah menuduh Israel melakukan genosid dengan memusnahkan pusat penjagaan kesihatan reproduktif. Tuduhan itu menyebabkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam UNGA sebagai sebuah badan yang anti-Semitisme, korup, menyokong keganasan dan tidak relevan.



Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
June 11, 2025