Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Gaza semakin memburuk susulan serangan Israel yang berterusan di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.


Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric berkata serangan udara rejim Israel di Gaza serta keganasan di Tebing Barat terus berlaku secara berkala dan mengorbankan orang awam, termasuk kanak-kanak.


Beliau menegaskan bahawa orang awam, infrastruktur awam serta kemudahan kemanusiaan perlu dilindungi dan tidak sepatutnya menjadi sasaran serangan.


Menurut Dujarric, masalah kelaparan masih dirasai dengan ketara di Gaza meskipun bantuan kemanusiaan terus diagihkan. Beliau turut memetik kajian terkini Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) mengenai keadaan pemakanan dan kesihatan kanak-kanak di wilayah itu.


Data lapangan yang dikumpulkan pada Mei dan Jun menunjukkan 12.2 peratus kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Gaza mengalami kekurangan zat makanan kronik.


Pada masa sama, hanya 22.4 peratus kanak-kanak berusia antara enam hingga 23 bulan dilaporkan mendapat tahap pemakanan yang mencukupi.


Dujarric berkata keadaan tersebut menunjukkan krisis makanan dan kesihatan kanak-kanak di Gaza masih serius, walaupun terdapat usaha untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk.


Apabila ditanya mengenai kebimbangan rejim Israel terhadap kanak-kanak Gaza yang menerbangkan layang-layang, Dujarric berkata keutamaan sepatutnya adalah mengurangkan kehadiran tentera rejim Israel di Gaza.


Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Palestin perlu diberikan ruang yang lebih luas untuk hidup dengan selamat di wilayah mereka sendiri.


Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre

Written by
Admin
Published on
August 26, 2026