Amerika Syarikat (AS) menyalahkan HAMAS atas serangan mengejut Israel ke atas Gaza yang telah mengorbankan lebih 300 orang.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Brian Hughes, dalam kenyataannya kepada The Times of Israel mendakwa bahawa “HAMAS boleh membebaskan tawanan untuk melanjutkan gencatan senjata, tetapi sebaliknya memilih untuk menolak dan berperang.”
Namun, rekod menunjukkan bahawa HAMAS telah mematuhi semua syarat dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani dengan Israel pada 17 Januari, dengan Mesir dan Qatar bertindak sebagai perantara serta AS sebagai penjamin.
Sebaliknya, Israel dengan sokongan pentadbiran Trump enggan beralih ke fasa kedua perjanjian tersebut.
Apabila AS, melalui utusan tawanan Adam Boehler, mencadangkan agar HAMAS membebaskan seorang tahanan Israel-Amerika dan menyerahkan jenazah empat tawanan, HAMAS bersetuju dengan syarat fasa kedua gencatan senjata dilaksanakan. Namun, Israel menolak cadangan tersebut.
Utusan AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, kemudian mengusulkan satu inisiatif di mana HAMAS akan membebaskan separuh daripada tahanan Israel yang masih hidup serta menyerahkan separuh daripada jenazah tahanan yang telah meninggal dunia sebagai pertukaran untuk lanjutan gencatan senjata selama 50 hari. Bagaimanapun, AS enggan memasukkan pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata dalam cadangan tersebut.
Sumber: Al Jazeera