Seorang Pegawai Kanan Kesatuan Eropah (EU) mendakwa bahawa kempen kutipan derma bagi membantu penduduk Gaza semasa serangan berterusan oleh Israel telah menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan orang Yahudi.
Katharina von Schnurbein, Penyelaras Suruhanjaya Eropah bagi Menangani Anti-Semitisme, mendakwa bahawa bentuk baharu anti-Semitisme kini wujud dalam kalangan institusi Eropah sendiri, yang menurutnya mewujudkan suasana tidak selesa bagi masyarakat Yahudi.
Dalam satu taklimat kepada para duta EU yang berkumpul di Tel Aviv, beliau merujuk fenomena itu sebagai ‘suasana anti-Semitisme.’ “Ini telah mewujudkan suasana di mana orang Yahudi berasa tidak selesa, termasuk dalam institusi Eropah sendiri,” katanya.
Sebagai contoh, von Schnurbein merujuk kepada satu jualan amal yang diadakan pada bulan Mei lalu oleh kakitangan Suruhanjaya Eropah di Brussels bagi mengumpul dana untuk Bulan Sabit Merah di Gaza — inisiatif yang menurutnya menimbulkan kebimbangan berkaitan persepsi terhadap Israel dan komuniti Yahudi.
Von Schnurbein mendakwa bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan media mengabaikan berita tentang Israel yang kononnya menyediakan makanan di Gaza. Beliau turut menyebut mengenai teori konspirasi yang tersebar di media sosial berkaitan konflik Gaza, yang didakwanya memperkukuh sentimen anti-Semitisme secara tidak langsung.
Dalam pada itu, beberapa negara Eropah seperti Ireland, Belanda dan Sepanyol semakin lantang menyeru agar hubungan EU dengan Israel dikaji semula, berikutan kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza sejak Oktober lalu.
Desakan tersebut diperkukuh oleh laporan Suruhanjaya Eropah yang menyatakan terdapat petunjuk bahawa tindakan Israel di Gaza melanggar kewajiban hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam perjanjian antara EU dan Israel. Namun, blok 27 negara itu dilaporkan berpecah dalam menentukan langkah seterusnya.
Sumber: Quds News Network