Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Pejabat Media Kerajaan Gaza melancarkan seruan segera bagi menyelamatkan lebih dua juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kini berdepan keadaan kemanusiaan yang amat buruk.

Pejabat itu menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan segera bagi memecahkan apa yang disifatkannya sebagai veto Israel yang menghalang kemasukan karavan, keperluan tempat perlindungan dan bahan binaan, khususnya menjelang musim sejuk.

Menurutnya, sistem pengurusan tempat perlindungan kebangsaan merekodkan seramai 509,393 keluarga yang kehilangan tempat tinggal, melibatkan lebih 2.15 juta orang. Daripada jumlah itu, sekitar 867,228 orang, membabitkan 196,287 keluarga masih tinggal di dalam khemah usang dan daif yang tidak lagi sesuai untuk didiami serta memerlukan penggantian segera.

Pejabat tersebut memberi amaran bahawa keadaan itu mengancam keselamatan fizikal dan kesihatan mental golongan paling terdedah yang tinggal di khemah, termasuk 46,014 warga emas, 23,584 balu, 59,795 anak yatim dan 15,687 orang kurang upaya.

Selain itu, lebih setengah juta kanak-kanak turut berdepan risiko akibat cuaca musim sejuk dan penyakit berjangkit, terutamanya disebabkan ketiadaan kemudahan pemanasan serta tempat perlindungan yang selamat.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menegaskan bahawa tindakan Israel yang terus menghalang kemasukan unit perlindungan sementara serta membekukan program pembersihan runtuhan merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak untuk mendapatkan tempat tinggal yang sesuai.

Sehubungan dengan itu, pejabat berkenaan menggesa agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak penderma menjadikan projek penyediaan tempat perlindungan serta pemulihan infrastruktur sebagai keutamaan dalam pembiayaan bantuan.
Pada masa sama, pejabat itu menegaskan bahawa kerajaan Gaza akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi melaksanakan langkah kecemasan untuk mengurangkan penderitaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre 

Written by
Admin
Published on
August 18, 2026