.png)
Pasukan rejim Israel pada petang Rabu semalam menghalang sekumpulan pemuda daripada meneruskan solat Isyak dan tarawih di Bab al-Sahira di Kota Lama Baitul Maqdis yang diduduki, sebelum mengusir dan memaksa mereka meninggalkan kawasan tersebut.
Menurut Gabenor Baitul Maqdis, beberapa orang pemuda difahamkan sempat menunaikan solat Isyak dan tarawih berhampiran Bab al-Sahira ketika dikepung oleh pasukan pendudukan, sebelum mereka dihalang daripada menyempurnakan solat dan diusir secara paksa. Tindakan melampau itu berlaku ketika Masjid al-Aqsa masih ditutup sejak 28 Februari lalu dengan alasan keadaan darurat susulan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran ketika ini.
Pihak gabenorat menyatakan bahawa penduduk Baitul Maqdis tetap berkeras untuk berada di sekitar pintu-pintu Masjid al-Aqsa dan di beberapa buah lokasi di Kota Lama sebagai tanda mempertahankan hak mereka untuk bersolat serta sebagai mesej mendesak agar masjid itu dibuka semula kepada para jemaah. Memasuki hari kedua berturut-turut, para jemaah berkumpul berhampiran Bab al-Sahira walaupun pasukan rejim pendudukan telah melakukan penindasan dan rusuhan terhadap mereka pada hari Selasa sebelumnya.
Gabenorat itu turut menegaskan bahawa penutupan Masjid al-Aqsa serta larangan menunaikan solat dan beriktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sejak Baitul Maqdis diduduki pada 1967. Ia menegaskan bahawa pihak rejim Israel tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuka atau menutup Masjid al-Aqsa dan hak menguruskan hal ehwal masjid tersebut kerana ianya secara sah adalah milik Jabatan Wakaf Islam.
Sumber: Shehab News