Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pihak pendakwa raya Itali dilaporkan telah membuka siasatan terhadap Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir, berhubung dakwaan penyeksaan dan penculikan aktivis yang menyertai misi flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza pada bulan lalu.


Menurut sumber kehakiman Itali, siasatan itu melibatkan layanan terhadap beberapa orang warga Itali yang merupakan antara ratusan aktivis antarabangsa lain yang ditahan selepas tentera laut rejim Israel memintas armada flotila tersebut di perairan antarabangsa.


Laporan media Itali melaporkan siasatan telah berjalan sejak beberapa minggu lalu dan sekiranya bukti mencukupi diperoleh, pihak pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa kes tersebut ke perbicaraan.


Kontroversi tercetus selepas Ben-Gvir menyiarkan rakaman video yang memaparkan puluhan aktivis flotila Gaza berada dalam keadaan melutut dengan tangan terikat ketika dalam tahanan pihak berkuasa rejim Israel. Dalam satu lagi rakaman yang dimuat naik di platform X, seorang aktivis dilihat dipaksa melutut ke tanah oleh anggota keselamatan selepas melaungkan slogan “Free Palestine”.


Rakaman tersebut mencetuskan kecaman antarabangsa dan meningkatkan tekanan terhadap kerajaan haram Israel. Menurut penganjur, lebih 430 aktivis dari pelbagai negara, termasuk Itali dan Korea Selatan ditahan selepas cubaan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.


Mengulas siasatan berkenaan, Ben-Gvir menegaskan dia tidak akan gentar dengan sebarang tindakan undang-undang dan akan terus mempertahankan anggota keselamatan rejim Israel.


Langkah Itali itu dilihat mencerminkan perubahan pendirian negara tersebut terhadap rejim Israel. Walaupun kerajaan pimpinan Giorgia Meloni sebelum ini dianggap antara sekutu paling rapat rejim di Eropah, Rom sejak kebelakangan ini mengambil pendirian lebih tegas terhadap tindakan Israel di Gaza, Tebing Barat dan Lubnan. 


Kerajaan Itali pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni turut menyifatkan layanan terhadap aktivis terbabit sebagai tidak boleh diterima dan telah memanggil duta Israel untuk memberikan penjelasan rasmi.


“Itali tidak boleh menerima layanan yang mencabul maruah manusia terhadap aktivis-aktivis ini, termasuk warga Itali,” kata Meloni dalam kenyataannya.


Susulan insiden tersebut, Itali turut menggesa Kesatuan Eropah (EU) mempertimbangkan sekatan terhadap Ben-Gvir, manakala Perancis dilaporkan telah mengharamkan kemasukan beliau ke negara itu.


Tindakan Itali itu menyusuli langkah Perancis yang sebelum ini membuka siasatan berhubung dakwaan jenayah perang dan penyeksaan terhadap warga Perancis yang menyertai misi flotila sama.


Penganjur flotila mendakwa beberapa orang aktivis yang dibebaskan terpaksa menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang diterima ketika berada dalam tahanan rejim Israel, manakala sekurang-kurangnya 15 individu dilaporkan membuat aduan berkaitan gangguan dan penderaan seksual.


Bagaimanapun, Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) menafikan semua dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa semua tahanan dilayan mengikut undang-undang serta menerima rawatan perubatan yang sewajarnya.


Penganjur menjelaskan bahawa misi flotila itu bertujuan memecahkan sekatan haram rejim Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah berkenaan yang masih berdepan kekurangan bekalan asas walaupun gencatan senjata antara Israel dan HAMAS berkuat kuasa sejak Oktober 2025.


Rejim Israel bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan mendakwa sekatan laut ke atas Gaza adalah sah di sisi undang-undang serta menyifatkan misi flotila tersebut sebagai satu bentuk kempen publisiti yang memihak kepada HAMAS.


Sumber: Reuters, The Times of Israel

Written by
Admin
Published on
June 9, 2026