Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel memperhebat operasi ketenteraan di seluruh Tebing Barat yang diduduki dengan memperketat sekatan di pusat pemeriksaan, mengepung beberapa bandar termasuk Nablus serta mengerahkan lebih ramai anggota tentera susulan gelombang keganasan yang semakin memuncak.

Langkah itu dibuat selepas Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Israel Katz pada Jumaat lalu mengarahkan tentera melancarkan operasi berskala besar di beberapa kawasan yang didakwa sebagai ‘pusat keganasan’. Kerajaan haram Israel turut mengumumkan rancangan untuk menghalalkan beberapa pos penempatan haram, membina penempatan baharu, merampas senjata di beberapa perkampungan Palestin serta membatalkan permit kerja penduduk Palestin.

Dalam operasi tersebut, tentera rejim Israel melancarkan serbuan di beberapa kawasan termasuk Jenin, Ariha (Jericho) dan Tulkarem serta menjalankan operasi penahanan besar-besaran yang menyasarkan rakyat Palestin yang sebelum ini dibebaskan daripada penjara rejim Israel. Di Nablus, sebuah rumah penduduk turut diserbu, manakala sebuah ambulans ditahan di pusat pemeriksaan Awarta.

Ketegangan semakin memuncak apabila pendatang haram Yahudi Israel melancarkan siri serangan ke atas beberapa kawasan di Tebing Barat. Di bandar Tell, barat daya Nablus, mereka membakar beberapa rumah ketika masih terdapat kanak-kanak di dalamnya, selain menyerang penduduk sehingga mengorbankan empat rakyat Palestin.

Di Qalqilya, lapan rakyat Palestin cedera selepas pendatang haram menyerang perkampungan Far'ata dan Jit. Di Birin, timur al-Khalil, mereka merobohkan dinding sebuah rumah serta memusnahkan keseluruhan isi kediaman, selain mendirikan beberapa pos penempatan haram baharu di utara Nablus, utara Ramallah dan kawasan al-Mazra'a al-Sharqiya.

Dalam insiden berasingan pada Ahad, pendatang haram turut membakar dua buah masjid. Menurut agensi berita Palestin WAFA, sekumpulan pendatang haram menyerbu perkampungan Kur di selatan Tulkarem, membakar sebuah masjid serta mencalit grafiti berunsur perkauman sebelum melarikan diri. Penduduk berjaya memadamkan kebakaran sebelum api merebak.

Beberapa jam sebelum itu, Masjid al-Rahma yang masih dalam pembinaan di bandar Qusra, selatan Nablus turut dibakar sehingga memusnahkan bahan binaan dan peralatan di tapak pembinaan.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin mengecam serangan tersebut dan memaklumkan bahawa sebanyak 45 buah masjid di Tebing Barat telah menjadi sasaran pendatang haram sejak awal tahun 2025 dengan perlindungan tentera rejim Israel.

Menurut pihak berkuasa Palestin, sekurang-kurangnya 1,182 rakyat Palestin telah syahid di Tebing Barat sejak Oktober 2023 akibat serangan tentera rejim Israel dan pendatang haram, manakala kira-kira 24,000 orang telah ditahan. Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok Palestin pula merekodkan 3,488 serangan oleh pendatang haram terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka sepanjang separuh pertama tahun 2025.


Sumber: The Palestine Chronicle, PALM Strategic Initiatives Centre



Written by
Admin
Published on
July 27, 2026