Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Enam rakyat Palestin cedera selepas diserang sekumpulan penduduk haram Israel yang menceroboh kawasan Masafir Yatta di selatan Tebing Barat yang diduduki.

Menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA, kira-kira 30 penduduk haram Israel bersenjata memasuki perkampungan Umm al-Khair di bawah perlindungan tentera Zionis sebelum menyerang penduduk serta kediaman mereka.

Mereka turut menutup laluan masuk ke kampung berkenaan dan memukul beberapa penduduk, menyebabkan enam rakyat Palestin mengalami kecederaan. Mangsa dilaporkan telah menerima rawatan di lokasi kejadian.Dalam serbuan yang sama, tentera Zionis menyerbu rumah seorang penduduk Palestin, Salim Hazalin, sebelum mengisytiharkan kawasan sekitar sebagai zon ketenteraan tertutup selama dua hari.

Tindakan itu menyebabkan ahli keluarga terhalang daripada memasuki rumah serta kandang ternakan mereka, sekali gus menyebabkan haiwan ternakan terperangkap tanpa bekalan makanan dan air.

Di kawasan Yatta, penduduk haram Israel turut memusnahkan pagar tanah milik seorang rakyat Palestin, Ayyub al-Masri, selain memotong kabel bekalan elektrik di kawasan tersebut.

Sementara itu, satu rakaman video yang tular menunjukkan anggota polis rejim Zionis melemparkan bom tangan ke dalam sebuah kenderaan yang dinaiki oleh beberapa pemuda Palestin di Kem Pelarian Qalandia, Baitul MaqdisTimur.

Beberapa penumpang sempat keluar sebelum bom itu meletup, namun pemandu dilaporkan terperangkap di dalam kenderaan selepas seorang anggota polis menghalangnya daripada membuka pintu.

Menurut media Israel, Haaretz, pihak polis mengakui tindakan anggota terbabit tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), manakala unit siasatan khas di bawah Kementerian Kehakiman Israel telah membuka siasatan terhadap insiden tersebut.

Akhbar Yedioth Ahronoth pula melaporkan anggota polis berkenaan digantung tugas sementara siasatan dijalankan. Setakat ini, keadaan pemandu yang berada di dalam kenderaan ketika letupan berlaku masih belum diketahui.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) melaporkan tentera rejim Zionis dan penduduk haram Israel telah melancarkan 11,074 serangan di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur sepanjang enam bulan pertama tahun 2026.

Serangan tersebut merangkumi rampasan tanah, peluasan penempatan haram, pemindahan paksa penduduk, pemusnahan harta benda, penebangan pokok, sekatan jalan raya serta pembinaan pos pemeriksaan tentera yang menjejaskan kehidupan harian rakyat Palestin.


Sumber: Anadolu

Written by
Admin
Published on
July 7, 2026