Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Sekumpulan pendatang haram Israel bertindak menyerang sebuah gereja Armenia di Kota Lama Baitul Maqdis pada Ahad dengan membaling batu dan meludah ke arah pintu masuk rumah ibadat tersebut.


Menurut Gabenor Baitul Maqdis, kumpulan pendatang haram itu melakukan serangan secara berkumpulan dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai provokasi terhadap rumah ibadat Kristian di kota suci itu.


Rakaman yang dikongsi Pihak Berkuasa Palestin (PA) menunjukkan sekurang-kurangnya lima pendatang haram Israel meludah ke arah gereja sebelum membaling batu ke bangunan berkenaan.


Insiden provokasi dan mengganggu gereja di Kota Lama Baitul Maqdis oleh pelampau Yahudi dilaporkan berulang kali berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


Menurut Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Gereja di bawah Presiden Palestin, sekurang-kurangnya 45 serangan oleh pendatang haram Israel dan tentera rejim Israel telah direkodkan terhadap komuniti Kristian serta rumah ibadat mereka sejak awal tahun ini.


Dalam insiden berasingan pada hari yang sama, seorang pemandu bas warga Palestin turut cedera selepas dipukul sekumpulan pendatang haram Israel di Baitul Maqdis Timur. Mangsa dilaporkan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.


Serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka di Tebing Barat yang diduduki terus meningkat sejak rejim Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023.


Menurut angka rasmi Palestin, sekurang-kurangnya 1,182 rakyat Palestin terbunuh, kira-kira 13,000 cedera, manakala hampir 24,000 lagi ditahan di Tebing Barat sejak tempoh tersebut.


Sumber: Anadolu Ajansi, Shehab News 

Written by
Admin
Published on
August 3, 2026