Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pendatang haram Israel menyerang penduduk Palestin dan aktivis  dalam satu protes aman di bandar Singil, utara Ramallah di Tebing Barat pada Jumaat. Penduduk Palestin dan aktivis yang menjadi mangsa dikatakan sedang menuju ke tanah pertanian yang dirampas oleh pendatang hampir sebulan lalu.


Protes tersebut bertujuan untuk memastikan penduduk kampung dan pemilik tanah dapat mengakses tanah mereka sendiri yang telah dicuri dan disekat oleh pendatang haram Israel. Difahamkan mereka yang terlibat dengan protes itu adalah dari kalangan penduduk Palestin dari bandar-bandar berdekatan serta kumpulan solidariti antarabangsa.


Wartawan Quds News Network (QNN) melaporkan bahawa puluhan pendatang haram menyerbu kawasan tersebut dan mula menyerang penduduk Palestin. Tentera Israel tiba dan melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup untuk melindungi pendatang haram tersebut. Mereka juga membakar tanah pertanian dan membaling batu ke arah kenderaan milik penduduk Palestin.


Sementara itu, beberapa aktivis Palestin telah berjaya sampai ke sebahagian tanah tersebut pada waktu yang lebih awal secara aman dan merobohkan struktur sementara yang diperbuat daripada zink dan kayu yang didirikan secara haram oleh pendatang haram Israel.


Datuk Bandar Ramallah, Mo’taz Twafsha berkata, “Tanah ini milik penduduk Singil dan Al-Mazra’a Al-Sharqiya. Ia terletak di Kawasan A mengikut Perjanjian Oslo dan kami mempunyai dokumen pemilikan sah sejak era Jordan.”


Beliau berkata pendatang haram Israel telah membina dua pos haram pada sebulan yang lalu dan menghalang akses ke lebih 1,000 dunum tanah pertanian iaitu kira-kira 100 hektar. Kawasan tersebut merangkumi pokok zaitun, ladang badam, bijirin, sayur-sayuran, jalan berturap dan sebagainya.


Menurut salah seorang penganjur protes: “Pendatang haram tetap menyerang kami di bawah perlindungan tentera Israel walaupun kami berada di Kawasan A dan B. Petani tidak dapat pergi ke rumah atau tanah mereka. Dunia perlu lihat apa yang sedang berlaku; rumah dan ladang kami dimusnahkan. Setiap kali kami cuba ke sana, mereka akan menyerang dengan cara melepaskan tembakan kepada kami.”


Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan bahawa keganasan pendatang haram Israel terus meningkat di Tebing Barat. Dalam separuh pertama tahun 2025, pendatang Israel telah melancarkan lebih 740 serangan terhadap rakyat Palestin, mencederakan 340 orang dan menyebabkan kerosakan yang berskala besar.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 7, 2025