
Kerajaan pendatang haram Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu telah menandatangani satu perjanjian yang memberikan AS sebidang tanah yang dijajah, dengan nilai pajakan simbolik sebanyak AS$1 bagi membina kompleks tetap Kedutaan AS di bandar tersebut.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Israel, perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Luar Israel Gideon Sa'ar, bersama Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee dan disaksikan oleh Datuk Bandar Baitul Maqdis, Moshe Lion.Kementerian itu turut menyatakan bahawa perjanjian berkenaan menandakan permulaan proses pemindahan Kedutaan AS daripada premisnya yang sedia ada ke lokasi tetap yang baharu di Baitul Maqdis.
Menurut kenyataan itu, langkah tersebut merupakan kesinambungan kepada keputusan Presiden AS, Donald Trump, pada Disember 2017 yang mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan sementara Amerika dari Tel Aviv ke bandar tersebut.
Dalam majlis menandatangani perjanjian tersebut, Sa'ar menyifatkan bahawa keputusan Trump untuk memindahkan Kedutaan AS ke Baitul Maqdis merupakan ‘keadilan bersejarah’ dan berkata pembinaan kompleks tetap kedutaan akan memperkukuhkan lagi langkah tersebut untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Huckabee berkata bahawa AS menerima tanah yang akan dijadikan tapak pembinaan kompleks tetap kedutaan negara itu. Dia menjelaskan bahawa pajakan tanah itu adalah selama 99 tahun dengan bayaran simbolik sebanyak AS$1. Dia turut menyatakan bahawa kompleks baharu itu akan mengukuhkan kehadiran AS di Baitul Maqdis, selain sekali lagi menyifatkan bandar tersebut sebagai ibu negara kekal Israel.
Pada Disember 2017, pengiktirafan Trump terhadap Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, beserta arahannya memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv telah mengundang kecaman meluas daripada masyarakat antarabangsa kerana disifatkan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan konsensus global yang tidak mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Baitul Maqdis Timur, wilayah Palestin yang diduduki.
Sumber: Shehab News, The Palestine Chronicle