Radio tentera Israel melaporkan bahawa beberapa warga haram Israel ditahan kerana cuba menceroboh masuk ke Gaza dengan tujuan untuk memulakan penempatan di wilayah Palestin tersebut.
Radio tersebut turut menambah bahawa penahanan itu berlaku selepas satu acara diadakan untuk mempromosikan penempatan Israel di Semenanjung Gaza yang sedang dilanda peperangan.
Dalam pada itu, ahli politik Israel dan organisasi penduduk sayap kanan mengadakan acara dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk mendesak penubuhan penempatan di Gaza pasca perang.
Aktivis warga haram Israel, Daniella Weiss dilaporkan cuba memasuki Gaza pada bulan November dengan bantuan tentera Israel untuk meninjau kawasan yang berpotensi menjadi penempatan baharu.
Pemimpin politik Israel turut mengadakan acara serupa pada bulan Oktober, bertajuk "Bersedia untuk Menetap Semula di Gaza". Dikatakan 10 daripada 32 ahli parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu turut hadir.
Sumber: Al Jazeera