Pengawal penjara Israel memaksa tahanan Palestin untuk memadamkan slogan "Baitul Maqdis adalah Arab". Tindakan tersebut telah mencetuskan kemarahan dan sekali lagi menonjolkan layanan berbeza antara tahanan Palestin dan Israel.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir memuat naik video di akaun X miliknya, yang menunjukkan pengawal penjara Negev Israel menyerbu sel tahanan Palestin, memaksa mereka berlutut dan mengecat dinding bagi memadam slogan tersebut.
Dalam hantaran tersebut, Ben-Gvir menulis:
"Di Penjara Ktsiyot (Negev), didapati banyak dinding sel tahanan ditulis dengan frasa seperti 'Kami tidak akan lupa, kami tidak akan memaafkan, kami tidak akan berlutut, Jerusalem adalah Arab.' Di bawah arahan komander penjara, Menachem Bibas, pasukan penjara telah menyerbu sel dan memaksa mereka untuk melutut."
Tahanan Palestin dilaporkan menulis slogan seperti "Kami tidak akan memaafkan... Kami tidak akan lupa... Kami tidak akan berlutut" di dinding penjara sebelum dibebaskan sebagai sebahagian daripada kumpulan ketujuh perjanjian pertukaran tahanan antara HAMAS dan Israel.
Bagaimanpun, Israel telah membatalkan pembebasan tahanan Palestin, memaksa ratusan tahanan yang dipenjarakan kembali ke sel mereka, sementara keluarga mereka di pelbagai kawasan di Tebing Barat dan Gaza menantikan ketibaan mereka.
Sumber: The Palestine Chronicles