Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) melaporkan bahawa penjaga gol Palestin, Saleem Al-Ashqar terkorban dalam serangan tentera rejim Israel di semenanjung Gaza awal minggu ini. PFA memaklumkan Al-Ashqar terbunuh akibat tembakan tentera Israel, sekali gus menjadi antara ratusan figura sukan Palestin yang terkorban sejak bermulanya perang genosid di Gaza pada Oktober 2023.

Menurut persatuan itu, lebih 1,000 atlet Palestin telah terkorban sepanjang tempoh tersebut, dengan majoritinya terdiri daripada pemain bola sepak. Pada masa yang sama, ratusan kemudahan sukan turut musnah akibat serangan berterusan rejim Israel.

Pemergian Al-Ashqar mencetuskan gelombang kesedihan dalam kalangan ahli keluarga, rakan sepasukan, penyokong bola sepak serta komuniti sukan Palestin dan antarabangsa. Lebih menyayat hati apabila mengetahui beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga lima bulan lalu dan bakal menimang anak sulung mereka.

Kelab bola sepak Chile, Deportivo Palestino dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian penjaga gol berusia 32 tahun itu.

"Kami amat berdukacita atas pemergian tragis penjaga gol Palestin, Saleem Al-Ashqar yang dibunuh oleh tentera Israel. Kami menyeru agar keadilan ditegakkan dan keamanan dikembalikan," menurut kenyataan kelab tersebut.Di sebalik kehilangan demi kehilangan yang terus melanda arena sukan Palestin, perjuangan bola sepak negara itu masih diteruskan.

Ketika Gaza terus menyaksikan kemusnahan dan atlet-atletnya menjadi mangsa serangan, bendera Palestin tetap berkibar di pentas kelayakan Piala Dunia FIFA 2026, mencerminkan semangat rakyat Palestin yang terus mempertahankan identiti dan harapan mereka melalui sukan meskipun berdepan peperangan yang berpanjangan.

Kematian Al-Ashqar sekali lagi menyerlahkan kesan perang terhadap sektor sukan Palestin, apabila bukan sahaja nyawa atlet menjadi korban, malah infrastruktur sukan dan masa depan generasi muda turut musnah akibat serangan yang berterusan.


Sumber: Anadolu Ajansi, The Palestinian Chronicle

Written by
Admin
Published on
July 3, 2026