Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Hizbullah pada Isnin memaklumkan bahawa satu serangan oleh rejim Israel di selatan Lubnan telah mengorbankan seorang penyampai televisyen, Ali Nour al-Din, yang mengendalikan rancangan keagamaan di stesen Al-Manar TV, sebuah saluran yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.


Dalam satu kenyataan, Hizbullah berkata serangan berkenaan mencerminkan peningkatan eskalasi oleh Israel di Lubnan, yang menurutnya kini turut menyasarkan komuniti media.


Hizbullah turut memaklumkan bahawa Nour al-Din juga berkhidmat sebagai pendakwah utama di kawasan al-Hawsh, di pinggir bandar Tyre dan menyifatkan pembunuhannya sebagai satu pembunuhan terancang.


Menteri Penerangan Lubnan, Paul Morcos mengecam serangan tersebut dan berkata bahawa serangan sedemikian tidak lagi membezakan sasaran, sama ada wartawan mahupun kru media.


Sebelum pembunuhan Nour al-Din pada Isnin, sekurang-kurangnya enam wartawan Lubnan telah terbunuh dalam serangan rejim Israel ke atas Lubnan sejak 2023, menurut data Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ). Sementara pemerhati lain meletakkan angka korban wartawan Lubnan seramai 10 orang.


Kementerian Kesihatan Lubnan sebelum itu memaklumkan bahawa seorang individu terbunuh dalam satu serangan udara Israel di Tyre, namun tidak segera mendedahkan identiti mangsa. Kementerian itu turut menyatakan bahawa satu lagi serangan Israel telah membunuh dua orang di Kfar Rumman, berhampiran bandar Nabatieh.


Tentera rejim kemudiannya mengakui telah membunuh Nour al-Din, yang disifatkannya sebagai anggota Hizbullah serta menyatakan bahawa ia turut menyasarkan dua individu lain di kawasan Nabatieh di selatan Lubnan.


Bagaimanapun, Israel dan Hizbullah telah bersetuju dengan gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) pada 2024 bagi menamatkan lebih setahun pertempuran, yang menyaksikan Israel melancarkan serangan udara ke seluruh Lubnan dan melemahkan kumpulan bersenjata itu.


Namun begitu, walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, pihak rejim terus melakukan serangan berkala ke atas sasarannya di Lubnan dan mengekalkan kehadiran tenteranya di lima lokasi di selatan negara itu.


Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Pemimpin Hizbullah, Naim Qassem memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas Tehran juga akan dianggap sebagai serangan ke atas Hizbullah, sambil menegaskan bahawa peperangan baharu terhadap Iran akan mencetuskan konflik besar di rantau ini.


Qassem turut memberi amaran terhadap sebarang percubaan membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan menegaskan bahawa Hizbullah menganggap ancaman sedemikian juga ditujukan kepada mereka.


Tehran sebelum ini memberi amaran kepada AS bahawa sebarang serangan akan dibalas dengan respons yang membawa penyesalan dan boleh menjejaskan seluruh rantau Timur Tengah.


Sumber: Al Jazeera, Reuters

Written by
Admin
Published on
January 27, 2026