Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa beberapa kakitangannya di Gaza telah rebah akibat kelaparan dan keletihan dalam tempoh 48 jam lalu. Menurut Pengarah Komunikasi Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Juliette Touma, para doktor, jururawat, wartawan dan petugas kemanusiaan PBB kini rebah seorang demi seorang ketika berusaha memberikan bantuan kepada orang lain.


Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 1,054 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan sejak Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) mula beroperasi pada 27 Mei lalu. Daripada jumlah itu, 766 terbunuh berhampiran lokasi agihan GHF, manakala 288 lagi ditembak berdekatan konvoi bantuan PBB atau NGO lain.


GHF merupakan sebuah entiti yang diwujudkan oleh pihak berkuasa rejim Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk menggantikan agensi-agensi bantuan PBB.


UNRWA mengecam sekeras-kerasnya skim agihan bantuan oleh GHF. “Ia adalah perangkap maut yang sadis. Penembak tepat melepaskan tembakan secara rawak ke arah orang awam seolah-olah mereka telah diberi lesen untuk membunuh.” 


Kehidupan di Gaza kini berada pada tahap paling kritikal dalam sejarah. Harga barang asas meningkat sehingga 4,000%. Satu beg tepung boleh mencecah USD 200 (sekitar RM930). 


Program Makanan Sedunia (WFP) turut memberi amaran bahawa seperempat penduduk Gaza kini berada di ambang kebuluran. Kira-kira 100,000 wanita dan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut yang memerlukan rawatan segera.


Keperluan asas seperti lampin juga hampir mustahil untuk diperoleh. Satu lampin boleh mencecah lebih USD 3. Para ibu kini terpaksa menggunakan beg plastik, manakala seorang bapa dilaporkan mengoyakkan baju terakhirnya untuk dijadikan tuala wanita buat anak perempuannya.


Menurut wakil UNRWA, “Kami mempunyai ribuan kit kebersihan, bekalan makanan dan ubat-ubatan menunggu di pintu sempadan Gaza. Namun, kami dihalang daripada membawanya masuk.” 


UNRWA sekali lagi menggesa agar gencatan senjata segera dilaksanakan serta satu perjanjian dimeterai bagi membolehkan aliran bantuan kemanusiaan yang tetap dan selamat masuk ke Gaza di bawah seliaan PBB. Agensi itu turut menegaskan bahawa PBB bersama agensi-agensi kemanusiaannya mempunyai sumber dan kepakaran untuk menyalurkan bantuan secara besar-besaran dan selamat, namun usaha tersebut terus dihalang secara sistematik.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 23, 2025