Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Keluarga dua pemuda Palestin mendakwa Polis Marin Israel sengaja membunuh kedua-dua pemuda tersebut ketika operasi misi menyelamat di pantai Yafa yang dijajah minggu lalu.


Mangsa dikenal pasti sebagai Ameen Khalil Zaarour dan Baha Shweiki, kedua-duanya berasal dari Baitulmaqdis yang diduduki. Menurut keluarga mangsa, Polis Marin Israel bukan menyelamatkan, sebaliknya melanggar mereka dengan kipas bot. Beberapa ahli keluarga lain turut cedera dalam kejadian itu.


Menurut keluarga mangsa, pihak berkuasa Israel cuba mengelak daripada bertanggungjawab apabila polis menuntut mereka menandatangani dokumen pelepasan liabiliti pembunuhan itu sebagai syarat menyerahkan jenazah. Namun, keluarga mangsa menolak dan menuntut bedah siasat dijalankan.


Menurut saksi, tragedi itu bermula apabila ombak kuat menarik lima sekeluarga ke tengah laut. Laungan meminta pertolongan diabaikan hampir 15 minit sebelum bot polis marin tiba, namun ia dipandu laju ke arah mangsa yang sedang bergelut.


“Bot itu melanggar Ameen dan Baha,” kata Ibrahim Shweiki, bapa saudara mangsa. “Mereka boleh diselamatkan, tetapi polis marin memilih untuk membunuh mereka.”


Mangsa yang terselamat mendakwa polis menolak mereka semula ke laut. Seorang pemuda yang cuba naik ke atas bot dipukul pada tangan sebelum dicampak ke arah kipas yang sedang berpusing, manakala seorang lagi cedera ketika cuba membantu mangsa yang lemas.


Foto dan rakaman video jenazah mangsa menunjukkan kesan luka yang dalam pada kaki dan tangan akibat terkena kipas bot. Ibrahim mendakwa polis malah meninggalkan salah satu jenazah di pelabuhan. “Ini satu pembunuhan yang kejam,” katanya. “Mereka biarkan anak-anak kami cedera parah dan ditinggalkan di laut.”


Baha Shweiki meninggalkan dua anak kecil berusia satu dan tiga tahun. Sementara itu, Ameen merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya, lahir selepas penantian lebih dua dekad.


Kedua-dua keluarga mangsa menuntut keadilan dan memaklumkan mereka memiliki foto serta video yang membuktikan tindakan kejam polis marin tersebut. Mereka menegaskan Polis Marin Israel menukar operasi menyelamat menjadi pembunuhan yang disengajakan.


“Mereka hanyalah anak muda yang meminta pertolongan,” kata Ibrahim. “Namun, polis menjadikan bot sebagai senjata.”


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
August 28, 2025