Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera udara Amerika Syarikat (AS) di Qatar pada malam Isnin sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas tiga fasiliti nuklear di negaranya.
Tindakan itu dilihat sebagai amaran keras kepada Washington agar tidak campur tangan dalam konflik di rantau Teluk, khususnya dalam konflik semasa Israel-Iran.
Serangan itu menyebabkan Qatar menghantar surat kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), meminta agar tindakan diambil terhadap Iran kerana telah mencabuli kedaulatan negara tersebut.
Dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan di laman sosial X, kerajaan Iran memaklumkan bahawa Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian telah menghubungi Emir Qatar untuk menyatakan simpati kepada kerajaan dan rakyat negara itu susulan ketegangan terbaru di rantau itu.
Dalam perbualan tersebut, beliau menegaskan komitmen Republik Islam Iran untuk memperkukuh hubungan yang membina, mesra dan bersaudara dengan Qatar. Beliau turut memuji peranan konstruktif Qatar dalam mengelakkan ketidakstabilan serantau daripada menjadi lebih buruk. Kenyataan itu juga menegaskan bahawa Iran dan negara-negara jirannya tidak akan membenarkan provokasi AS dan Israel memecahbelahkan rantau itu.
Dalam satu perbualan telefon dengan Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), berlaku satu perbincangan berkenaan perkembangan terkini serantau susulan pencerobohan oleh AS dan Israel. Iran menekankan kepentingan memperkukuh hubungan dengan negara-negara jiran serta perpaduan serantau. UAE pula menegaskan keperluan usaha bersama untuk mengekalkan kestabilan serantau yang berkekalan.
Dalam panggilan telefon dengan Sultan Oman, Masoud Pezeshkian menyifatkan pergaduhan negara-negara Islam terhadap satu sama lain sebagai satu rancangan jahat oleh rejim Zionis dan AS serta menekankan: “Saya percaya bahawa melalui kebijaksanaan pemimpin serantau, rancangan ini tidak akan berjaya.”
Dalam perbualan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Masoud Pezeshkian menyatakan: "Kami bersedia untuk menyelesaikan perkara antara Iran dan AS berdasarkan kerangka antarabangsa dan kami tidak pernah membuat tuntutan melebihi hak kami yang sah."
Malaysia turut tidak terkecuali, Masoud Pezeshkian yang menghubungi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memohon jasa baik beliau untuk menyampaikan pendirian Malaysia kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran.
Panggilan telefon bersama Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi membincangkan perkembangan terkini di rantau Teluk susulan serangan terhadap Iran. Araghchi mengucapkan terima kasih kepada China atas kecaman tegasnya terhadap serangan rejim Zionis serta serangan AS ke atas tapak nuklear Iran.
Sumber: Akaun Rasmi X Kerajaan Iran, Sinar Harian