Amerika Syarikat (AS) masih menyalurkan bekalan sistem anti peluru berpandu, termasuk 100 anggota tentera untuk pengendaliannya ke Israel walaupun mereka memaklumkan sekatan bantuan ketenteraan untuk Israel akan dilaksanakan.
Sebelum ini AS mendakwa tidak akan menghantar bantuan ketenteraan ke Israel berdasarkan undang-undang negara yang melarang sebarang bentuk sokongan terhadap ketenteraan yang menyekat bantuan kemanusiaan seperti Israel lakukan di Gaza.
Bagaimanapun, perkembangan yang dilaporkan pada minggu lepas menjadi tumpuan dan menimbulkan persoalan: pertama - dalam pengumuman Ahad, AS memberitahu akan mengerahkan tenteranya ke Israel dan; kedua - surat yang dihantar oleh pegawai AS pada hari yang sama menyeru Israel untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza atau jika tidak, mereka akan menanggung akibat yang tidak dipastikan.
Berdasarkan temu bual pada Selasa , jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller enggan menjelaskan kesannya ke atas Israel jika rejim itu gagal mematuhi permintaan mereka. Miller juga tidak memberitahu bagaimana ancaman itu berbeza dengan ancaman sebelum ini yang gagal dilaksanakan oleh pentadbiran Biden untuk benar-benar menyekat bantuan ketenteraan kepada Israel.
Adakah ini sekadar ugutan kosong?
Melalui surat yang telah didedahkan pada Selasa, difahamkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin telah mengarahkan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer untuk melaksanakan beberapa pendekatan mampan dalam tempoh 30 hari bagi memulihkan situasi kemanusiaan yang memburuk di Gaza.
Rekod pada awal tahun ini menunjukkan AS telah hentikan sementara penghantaran ribuan butir bom ke Israel selepas mendapat tahu rejim itu sudah merancang untuk meluaskan lagi operasi mereka di selatan Gaza. Namun, AS kembali memberi bantuan dan membekalkan senjata kepada Israel walaupun Gaza dan Lubnan dibedil.
Ekoran daripada itu, mantan penasihat undang-undang bagi Jabatan Negara AS, merangkap penasihat kanan di International Crisis Group, Brian Finucane menyifatkan surat tersebut menunjukkan kebimbangan yang tinggi kerana ancaman yang jelas berdasarkan pelbagai dasar dan undang-undang jika mereka tidak mematuhi arahan itu.
Namun, pelaksanaannya masih menjadi teka-teki.
Menurut Finucane,
“Penting untuk kita ambil perhatian bahawa terdapat garis undang-undang sepanjang tempoh konflik ini dan pentadbiran Biden tidak kuatkuasakannya. Mungkin keadaan di utara Gaza sangat teruk sehinggakan pengiraan politik sudah berubah dan mungkin mereka memutuskan untuk melaksanakan undang-undang AS secara serius. Tetapi sebenarnya, situasi di Gaza sudah lama melepasi tahap yang sepatutnya mereka lakukan.”
Untuk pengetahuan, tempoh 30 hari yang diberikan kepada Israel untuk pemulihan situasi kemanusiaan di Gaza akan tamat selepas pilihan raya presiden AS pada bulan hadapan.
Tetapi ia tidak bermakna menjadi faktor untuk pentadbiran Biden menarik nafas lega kerana menurut mantan pegawai Jabatan Negara, Annelle Sheline, 30 hari yang diberikan kepada Israel adalah untuk mendapat undi:
“Bagi saya, ia bertujuan untuk memenangi pengundi yang tidak komited (Gerakan Nasional) dan pengundi lain dari swing states yang jelas menentang pentadbiran semasa kerana sokongannya kepada Israel. Jadi, saya jangkakan tiada tindakan yang akan diambil.”
Sumber: Al Jazeera