
Pusat Palestin bagi Hak Asasi Manusia (PCHR) pada hari Khamis menyifatkan keputusan pihak pendakwa tentera rejim Israel menutup fail siasatan jenayah di Penjara Sde Teiman sebagai satu percubaan jelas untuk menutup jenayah penyeksaan dan serangan seksual di pusat tahanan.
Menurut laporan, pihak pendakwa tentera rejim Israel bertindak menutup siasatan terhadap lima anggota tentera yang disyaki melakukan serangan seksual terhadap seorang tahanan dari Gaza di penjara Sde Teiman di Negev, atas alasan bukti yang tidak mencukupi.
Walau bagaimanapun, PCHR dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa keputusan menutup siasatan itu mencerminkan tindakan bersubahat antara pendakwa tentera rejim dan pihak keselamatan yang mengawal sistem penahanan, sekali gus menunjukkan bahawa budaya kekebalan daripada hukuman terhadap pelaku pelanggaran serius ke atas tahanan Palestin masih berterusan.
Tambah pusat itu lagi, serangan yang didokumentasikan di penjara Sde Teiman mendedahkan tahap pelanggaran yang serius terhadap hak tahanan Palestin, serta merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Konvensyen Geneva.
Pusat berkenaan menegaskan bahawa penutupan siasatan itu, walaupun terdapat bukti bergambar, merupakan satu perkembangan berbahaya yang mencerminkan usaha menutup jenayah rejim. Tindakan ini juga memberi perlindungan kepada pelaku penyeksaan dan serangan seksual, sekali gus menghalang mereka daripada diadili.
Mereka menegaskan bahawa apa yang berlaku di penjara Sde Teiman bukanlah insiden terpencil atau pelanggaran sementara, sebaliknya mencerminkan corak pelanggaran sistematik terhadap tahanan Palestin.
Pusat itu turut menuntut penubuhan siasatan antarabangsa terhadap jenayah yang berlaku di Penjara Sde Teiman, serta memastikan pihak-pihak yang bertanggungjawab diadili mengikut undang-undang antarabangsa.
Sumber: Shehab News