.png)
Pusat Kajian Tahanan Palestin mendakwa rejim Israel masih meneruskan penahanan, penculikan dan pembunuhan terhadap penduduk di semenanjung Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober 2025 masih berkuat kuasa.
Dalam satu kenyataan, pusat itu memaklumkan sekurang-kurangnya 107 kes penahanan melibatkan penduduk Gaza direkodkan sejak perjanjian yang ditandatangani di Sharm el-Sheikh pada 10 Oktober tahun lalu di bawah tajaan Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa.
Menurutnya, tentera rejim Israel bersama kumpulan militia yang beroperasi atas arahan perisikan rejim Israel masih meneruskan operasi penculikan serta penahanan terhadap penduduk awam yang tidak bersenjata, khususnya di kawasan utara dan tengah Gaza.
Pusat itu turut mendakwa tentera rejim Israel berulang kali melanggar apa yang disifatkan sebagai garisan merah dengan menahan penduduk dari pelbagai lokasi di Gaza, manakala kumpulan militia terbabit pula menahan beberapa individu sebelum menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa rejim Israel untuk disoal siasat.
Antara insiden yang didedahkan adalah penahanan tiga penduduk di timur Deir al-Balah, termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun, Ryan Abu al-Ajin, bersama bapanya. Ryan dilaporkan dibunuh sehari selepas ditahan, manakala bapanya dibebaskan selepas mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Syuhada al-Aqsa.
Selain itu, tentera rejim Israel dilaporkan menahan beberapa penduduk selepas mara ke arah barat bandar Khan Yunis sehingga ke Jalan Salahuddin, selain menahan orang awam di barat laut Rafah dengan bantuan kumpulan militia yang bekerjasama dengannya.
Pusat berkenaan turut memaklumkan bahawa tentera laut Israel telah menahan 37 nelayan Palestin ketika mereka menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan utara dan selatan Gaza sejak gencatan senjata dilaksanakan. Sebahagian daripada mereka telah dibebaskan, manakala selebihnya masih berada dalam tahanan.
Menurut kenyataan itu lagi, lima tahanan dari Gaza dilaporkan meninggal dunia di penjara rejim Israel sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai akibat pengabaian perubatan, penyeksaan, kebuluran dan keadaan tahanan yang buruk. Mereka adalah Kamel Mohammed al-Ajrami, 69; Hamza Abdullah Adwan, 67; Taysir Saeed Sababah, 60; Khamis Shukri Ashour, 44; dan pegawai paramedik, Hatem Ismail Rayan, 59.
Pada Jun ini, tentera rejim Israel turut menahan tujuh anggota paramedik Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) selepas menghalang pergerakan ambulans mereka. Lima daripadanya telah dibebaskan, manakala dua lagi masih ditahan.
Walaupun rejim Israel sebelum ini mengakui telah menahan kira-kira 1,400 tahanan dari Gaza, pusat itu percaya jumlah sebenar adalah lebih tinggi dan melibatkan ratusan individu lain yang masih tidak diketahui nasib mereka, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Sehubungan dengan itu, pusat berkenaan menggesa agar negara-negara yang menjadi penaja perjanjian gencatan senjata supaya campur tangan dan memberi tekanan kepada rejim Israel agar menghentikan semua bentuk penahanan terhadap penduduk Gaza serta membebaskan semua tahanan yang disifatkan sebagai orang awam yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan penentangan Palestin.
Sumber: Shehab News