Qatar pada Selasa memaklumkan bahawa Israel masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap cadangan gencatan senjata terbaharu di Gaza.
“Kami sedang berhubung dengan semua pihak bagi mencapai persetujuan gencatan senjata, namun sehingga kini tiada maklum balas rasmi dari Israel – sama ada penerimaan, penolakan atau pembentangan cadangan alternatif,” kata jurucakap Kementerian Luar, Majed al-Ansari.
Minggu lalu, gerakan pejuang HAMAS telah menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh perantara Mesir dan Qatar. Namun, Israel masih belum memberi respons rasmi terhadap pelan itu.
Al-Ansari memaklumkan para perantara berhubung setiap hari bagi mencapai persetujuan.
“Kami menekankan keperluan mendesak agar Israel memberikan respons dan terlibat secara serius,” katanya sambil menambah bahawa mereka kini menunggu maklum balas rasmi Israel terhadap cadangan itu.
Qatar turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan usaha pengantaraan, sambil menggesa komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada Israel agar menerima persetujuan gencatan senjata di Gaza.
“Tidak menjadi masalah bagi Mesir atau Qatar di mana rundingan itu diadakan,” katanya, merujuk laporan media Israel yang mencadangkan agar lokasi rundingan dipindahkan ke negara lain.
“Apa yang dipersetujui HAMAS adalah sama seperti yang telah dipersetujui Israel sebelum ini. Kini bola berada di gelanggang Israel dan nampaknya Israel tidak mahu mencapai persetujuan atau sekadar memberi respons terhadap cadangan tersebut.”
Ansari turut memberi amaran bahawa peningkatan ketenteraan di lapangan tidak akan membawa sebarang hasil positif.
Sumber: Anadolu Ajansi, Al Jazeera