Pejabat Media Antarabangsa Qatar mendakwa media Israel telah menerbitkan laporan berkaitan dokumen palsu yang berupaya mewujudkan ketegangan dan perbalahan di antara Qatar dan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, Qatar tidak merincikan maklumat tersebut tetapi menegaskan bahawa laporan media Israel itu berlaku ketika fasa penting rundingan gencatan senjata antara Israel dan HAMAS.
Pada Ahad, Times of Israel mendedahkan bahawa media Israel, Siaran 12 melaporkan berkaitan dokumen yang dirampas di Gaza. Dokumen tersebut didakwa merupakan bukti kerjasama intensif Qatar dengan HAMAS untuk beberapa tahun, termasuk usaha menggagalkan perdamaian serantau oleh AS; mengenyahkan pengaruh Mesir di Gaza dan; meningkatkan peranan Turkiye dan Iran di Gaza.
Pejabat Media Antarabangsa Qatar menyifatkan tindakan media Israel dengan mengeluarkan laporan berkaitan dokumen palsu itu sebagai gangguan yang disengajakan untuk mengalihkan perhatian daripada liputan negatif mengenai tindakan kejam mereka di Gaza.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan bahawa taktik yang sama telah digunakan untuk melemahkan usaha diplomatik yang mahu menamatkan perang dan membawa tawanan pulang, termasuk anggota pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Sebagai rekod, Mesir, Qatar dan AS merupakan pengantara dalam rundingan gencatan senjata antara HAMAS dan Israel.
Sumber: Al Jazeera