Rabbi terkenal di Amerika Syarikat (AS), Shmuley Boteach dilaporkan memetik Surah al-Israa', ayat 104 untuk menghalalkan tindakan Zionis di Palestin, mendakwa al-Quran jelas menyokong hak bangsa Yahudi ke atas tanah Palestin sebagai tanah Israel yang dijanjikan. Melalui perkongsiannya di media sosial, X pada Selasa, Boteach turut menyebut:
al-Quran secara jelas merujuk kepada kepulangan bangsa Yahudi ke Tanah Israel sebelum Hari Akhirat... Maka, daripada pespektif Islam, Israel adalah pemilik sah tanah yang Tuhan telah kurniakan dan sempadannya telah ditetapkan oleh Ibrahim melalui buku Genesis.
Bagaimanapun, perkongsian Boteach menerima kecaman daripada ramai pengguna X, antaranya penterjemah al-Quran, Fadel Soliman:
Adakah ini bermakna kamu sudah mula percaya dengan kebenaran al-Quran? Atau kamu menjelaskan kepada kami tentang agama kami? — Tuhan tidak memandang manusia berdasarkan kaum tetapi iman dan kepercayaan. Jadi, segala janji yang dibuat Tuhan bukan dibuat berdasarkan bangsa tetapi untuk menjadi soleh atau beriman. Tetapi Allah tidak akan menjanjikan apa-apa secara eksklusif untuk orang kulit hitam atau kulit putih atau orang Israel atau Arab.
Tidak cukup dengan itu, pengerusi Fiqh Council of North America, Dr. Yasir Qadhi turut mempertahankan kesucian al-Quran dengan membalas:
Orang Islam sebenarnya mempercayai Tuhan mengurniakannya kepada anak-anak Israel yang mengikuti Musa untuk memasuki Tanah Suci dan mentadbirnya tetapi ia hanya berlaku jika mereka kekalkan perjanjian mereka dengan Tuhan. Apabila anak-anak Israel melanggar janji mereka dengan Tuhan beberapa kali dengan cara yang teruk seperti yang telah dinyatakan di dalam Kitab Lama dan Baharu, serta dalam al-Quran, Tuhan menarik semula janji itu dan membatalkan status mereka. Oleh itu, bani Israel pada hari ini bukanlah umat pilihan Tuhan dan Tanah Suci itu bukanlah hak mereka untuk dituntut — Tanah Suci adalah milik orang yang benar dan mana-mana orang yang menolak para nabi Tuhan, melanggar perjanjianNya dan mengamalkan genosid serta apartaid, pasti bukan dalam golongan yang benar.
Tindakan Boteach menyeleweng petikan ayat al-Quran itu merupakan sebahagian besar usaha Zionis dalam merangka penjajahan di Palestin, kononnya disokong oleh Islam. Ini merupakan strategi untuk mendapatkan pengesahan terhadap peluasan negara haram Israel dari kalangan Muslim. Namun, Zionisme Kristian yang menjadi peranan penting dalam menjayakan pengembangan Zionisme ke peringkat global gagal mendapat sambutan di dunia Muslim.
Scofield Reference Bible menjadi rujukan yang meluas sejak diterbitkan pada 1909. Difahamkan buku ini adalah kajian terhadap kitab Bible dan menjadi rujukan utama dalam pembentukan teologi Zionis Kristian dengan menyatukan tafsiran Zionis secara langsung ke dalam teks kitab.
Sumber: MEMO