Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kerajaan haram Israel mengubah peraturan berkaitan pendaftaran tanah di Tebing Barat, sekali gus memudahkan pendatang haram Yahudi Israel membeli hartanah di wilayah yang dijajah secara haram itu.

Langkah tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin yang khuatir peraturan baharu itu akan membawa kepada pengilhakan de facto oleh Zionis (penguasaan sebenar di lapangan tanpa pengisytiharan rasmi).

Selain membenarkan orang Yahudi membeli hartanah di Tebing Barat, kerajaan haram itu turut mengarahkan supaya rekod tanah di Tebing Barat dibuka kepada umum.

Ini bermakna warga haram Israel yang ingin mengambil alih tanah di Tebing Barat lebih mudah mengetahui pemilik tanah, sekali gus mendedahkan mereka kepada gangguan dan tekanan.

Kabinet turut menetapkan bahawa kuasa berkaitan permit pembinaan bagi penempatan haram Yahudi di al-Khalil (Hebron) serta kawasan Masjid Ibrahimi akan dipindahkan daripada Majlis Perbandaran al-Khalil (Hebron) kepada pihak penjajah.

Pengarah Masjid Ibrahimi di al-Khalil, Moataz Abu Sneineh menyaksikan sendiri usaha rejim haram Israel merampas tanah Palestin. Masjid Ibrahimi merupakan simbol nasional Palestin dan tapak suci penting dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim.

Abu Sneineh berkata keputusan terbaharu pihak penjajah mencerminkan niat jelas untuk meningkatkan kawalan Zionis ke atas kota lama al-Khalil dan kawasan Masjid Ibrahimi.

“Apa yang berlaku hari ini adalah satu perkembangan paling serius sejak 1967,” katanya. “Kami memandangnya dengan kebimbangan yang mendalam terhadap kota lama dan Masjid Ibrahimi, yang merupakan simbol dan nadi al-Khalil serta makam para nabi.”

Tapak Masjid Ibrahimi turut dihormati oleh penganut Yahudi yang merujuknya sebagai Makam Para Leluhur (Tomb of the Patriarchs).

Pada 1994, seorang warga haram Yahudi membunuh seramai 29 rakyat Palestin selepas melepaskan tembakan ke arah jemaah Muslim yang sedang solat di masjid tersebut. Tidak lama kemudian, pihak rejim haram Israel membahagikan kawasan itu kepada zon solat Yahudi dan Muslim manakala puak pelampau Israel terus mengukuhkan kawalan mereka di kawasan al-Khalil.

Walaupun hanya berjumlah beberapa ratus orang, pendatang haram Israel telah mengambil alih kawasan luas di pusat bandar dengan perlindungan tentera Zionis.

“Ia termasuk peningkatan pencerobohan penduduk haram, sekatan terhadap jemaah, kawalan keluar masuk dan larangan azan. Semuanya sebahagian daripada dasar sistematik untuk menguasai sepenuhnya tapak suci ini,” katanya.


Sumber:Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
February 11, 2026