Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pihak berkuasa rejim Israel dilaporkan mengeluarkan ratusan saman terhadap para muazin di kawasan Palestin yang diduduki atas alasan ‘mengganggu kualiti alam sekitar’, dalam tindakan yang disifatkan sebagai usaha memperhebat tekanan terhadap identiti agama dan masyarakat Arab Palestin.

Peguam Khaled Zabarqa berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada perang menyeluruh yang melibatkan pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi alam sekitar Israel terhadap rakyat Palestin di bandar-bandar mereka.

Menurut beliau, imam-imam masjid di bandar Lydd sahaja telah menerima lebih 150 saman yang dikeluarkan oleh Kementerian Perlindungan Alam Sekitar rejim Israel kerana melaungkan azan menggunakan pembesar suara.Zabarqa berkata setiap muazin yang melaungkan azan berdepan notis atau saman yang memerlukan mereka membayar denda yang tinggi, sekali gus menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap kebebasan beragama.

Beliau berkata pihak Israel mendakwa saman tersebut dikeluarkan atas alasan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencemaran bunyi dan alam sekitar, namun menyifatkannya sebagai alasan untuk melaksanakan agenda politik secara sistematik.

Menurutnya, pengenaan denda yang tinggi bertujuan membebankan pihak masjid dan penduduk tempatan sehingga memaksa mereka mengurangkan atau menghentikan amalan ibadah.

Beliau turut memaklumkan bahawa beliau bersama beberapa peguam lain telah mengemukakan bantahan di mahkamah rejim Israel terhadap tindakan penguatkuasaan tersebut.

Baru-baru ini, Knesset Israel meluluskan undang-undang yang melarang laungan azan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid di wilayah Palestin yang diduduki dan Baitul Maqdis, selain mengenakan tindakan denda terhadap mereka yang melanggar peraturan itu.

Rakyat Palestin menyifatkan langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha sistematik untuk menyekat kebebasan beragama dan identiti Islam di wilayah yang diduduki.


Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre

Written by
Admin
Published on
August 7, 2026