Penduduk Haram Israel telah menyerbu Masjid al-Aqsa dan Kota Lama Baitul Maqdis pada hari Isnin dalam satu tindakan provokasi dan keganasan yang dianjurkan di bawah perlindungan polis Israel bagi meraikan pendudukan haram mereka di ibu kota Palestin.
Lembaga Waqf Islam melaporkan bahawa seramai 2,092 penduduk haram Israel memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa sepanjang hari tersebut. Antara mereka termasuk Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir; Menteri Negev dan Galilea, Yitzhak Wasserlauf, serta beberapa ahli Knesset dari parti Likud, Otzma Yehudit dan Zionisme Agama.
Menjelang petang, ratusan penduduk haram berkumpul di Pintu Damsyik bagi mengadakan Perarakan Bendera, yang meraikan pendudukan haram Israel di Baitul Maqdis Timur pada tahun 1967. Mereka mengibarkan bendera Israel, menari dalam bulatan dan melaungkan slogan-slogan perkauman seperti “Kematian ke atas orang Arab” dan “Ratakan Gaza” dalam suasana yang sangat provokatif dan rasis.
Pasukan keselamatan Israel menyekat akses ke Kota Lama terhadap ramai rakyat Palestin dan mengepung kawasan Pintu Damsyik dengan pagar penghalang. Di dalam Kota Lama, penduduk haram Israel menyerang beberapa rakyat Palestin, termasuk seorang warga emas di kawasan Muslim. Foto dan video yang tersebar menunjukkan seorang penduduk haram menyembur muka seorang penduduk Palestin dengan semburan lada berhampiran Pintu al-Zahira.
Dalam pada itu, bersempena dengan ulang tahun penjajahan separuh timur Kota Lama itu berdasarkan kalendar Ibrani, Netanyahu berikrar untuk mengekalkan Baitul Maqdis sebagai bandar bersatu di bawah kedaulatan Israel dan berbangga dengan projek-projek pengyahudian terhadap kota tersebut termasuk infrastruktur, perumahan, pendidikan dan pelaburan pelancongan.
Pegawai dan pemimpin agama Palestin mengutuk tindakan tersebut. Sheikh Ekrima Sabri, Imam Masjid al-Aqsa, memberitahu Al-Jazeera bahawa Israel menghalang jemaah Muslim daripada memasuki masjid tersebut. Bagaimanapun, rejim Israel membenarkan penduduk haram berbuat sesuka hati. Beliau memberi amaran tentang bahaya yang semakin meningkat dan keheningan dunia yang membimbangkan terhadap provokasi ini.
HAMAS turut mengutuk tindakan tersebut. Dalam satu kenyataan, gerakan penentangan itu berkata pencerobohan besar-besaran oleh penduduk haram yang diketuai oleh Ben-Gvir serta pelaksanaan ritual Talmud di dalam kawasan masjid merupakan tindakan berbahaya dan cubaan terang-terangan untuk mengenakan kawalan penuh Israel ke atas al-Aqsa.
Sumber: Quds News Network