.png)
Imej satelit mendedahkan bahawa rejim Israel sedang membina benteng tanah berskala besar yang membahagikan lebih separuh daripada semenanjung Gaza, sekali gus mengukuhkan kawalan wilayahnya ke atas bumi Palestin yang terus dikepung.
Menurut laporan Associated Press (AP), lebih 23 kilometer benteng tanah telah dibina sejak beberapa bulan lalu merentasi kawasan kediaman dan bandar yang dimusnahkan oleh rejim Israel.
Benteng itu dibina merentasi lebih separuh daripada garis pantai Gaza sepanjang kira-kira 40 kilometer, sekali gus memisahkan kawasan berpenduduk padat yang sebelum ini menjadi tempat tinggal ratusan ribu rakyat Palestin.
Selepas meneliti imej satelit berkenaan, tentera rejim Israel mengesahkan kepada AP bahawa benteng tersebut dibina di sepanjang kawasan digelar sebagai garisan kuning, yang diwujudkan susulan perjanjian gencatan senjata dengan HAMAS pada Oktober 2025.
Menurut rejim Israel, benteng itu merupakan sebahagian daripada zon keselamatan yang dilengkapi sistem pemantauan dan risikan bagi menghalang penyusupan serta melindungi penempatan haram Israel dan anggota tenteranya.
Imej satelit yang disediakan oleh Planet Labs menunjukkan salah satu bahagian benteng di selatan Rafah berkembang daripada kira-kira 500 meter pada 1 Julai kepada hampir 2.4 kilometer menjelang 15 Julai, sekali gus memutuskan hubungan antara Rafah dan kawasan al-Mawasi, yang merupakan kem penempatan sementara terbesar bagi penduduk yang dipindahkan.
Sekiranya pembinaan benteng tersebut diteruskan, bahagian selatan benteng itu dijangka bersambung dengan satu lagi benteng sepanjang hampir 17 kilometer yang memanjang dari Khan Yunis menuju ke bandar Gaza.
Pembinaan baharu turut dikesan berhampiran runtuhan Bani Suheila, lokasi rejim Israel membina sebuah pangkalan tentera, manakala benteng tanah lain terus diperluas berhampiran bandar Beit Lahia di utara Gaza yang musnah akibat serangan berterusan.
Setakat ini, ketinggian sebenar serta keluasan akhir benteng tersebut masih belum dapat dipastikan. Namun, imej satelit menunjukkan sebahagian strukturnya telah melangkaui sempadan garisan kuning yang diisytiharkan sendiri oleh rejim Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai usaha memperluaskan kawalan fizikal ke atas semenanjung Gaza.
Sumber: The Palestine Chronicle