
Pemerhati Hak Asasi Manusia Euro-Med memberi amaran bahawa rejim Israel sedang menjalankan operasi sistematik untuk mengalihkan dan memusnahkan runtuhan bangunan di Gaza, yang didakwa boleh menghapuskan bukti fizikal jenayah genosid serta saki-baki mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan.
Dalam satu kenyataan, pertubuhan tersebut berkata operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat-syarikat awam Israel di kawasan yang berada di bawah kawalan tentera haram Israel, tanpa pemantauan bebas atau membenarkan pasukan penyiasat antarabangsa dan tempatan memeriksa lokasi terlebih dahulu.
Menurutnya lagi, kerja-kerja berkenaan bukan sebahagian daripada usaha kemanusiaan untuk mencari mangsa yang hilang, membuka laluan atau memulakan pembinaan semula, sebaliknya melibatkan perobohan baki bangunan, penghancuran runtuhan serta pemindahan bahan binaan keluar dari Gaza.
Pertubuhan tersebut menganggarkan sekurang-kurangnya 10 juta tan runtuhan telah dialihkan, dihancurkan atau dipindahkan dari lokasi asal di kawasan yang dikuasai tentera haram Israel menggunakan kira-kira 400 jentera pengorek, pemusnah dan kenderaan pengangkut.
Pertubuhan itu turut memaklumkan bahawa sejak beberapa minggu lalu, sekitar 100 lori milik rejim Israel dilihat keluar dari Gaza setiap hari membawa muatan runtuhan.
Menurut Euro-Med, tindakan tersebut berisiko memusnahkan bukti penting berkaitan jenayah perang dan jenayah genosid, termasuk kes-kes pembunuhan di luar proses kehakiman serta jenazah mangsa yang masih belum ditemui di bawah timbunan runtuhan.
Pertubuhan itu turut mendakwa tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada corak lebih luas yang merangkumi pemusnahan lokasi yang disyaki mengandungi kubur besar, serangan berulang ke atas hospital dan kemudahan perubatan, pemusnahan bangunan di kawasan yang dikuasai tentera haram Israel, selain serangan terhadap wartawan Palestin serta sekatan terhadap kemasukan penyiasat antarabangsa dan media bebas ke kawasan yang paling terjejas.
Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre