Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut akhbar Yedioth Ahronoth, rejim Israel telah memulakan pembinaan parit khas sepanjang 170 meter yang akan dipenuhi buaya mengelilingi sebuah blok di Penjara Ketziot yang menempatkan tahanan daripada HAMAS. Projek itu diteruskan meskipun menerima bantahan daripada sudut undang-undang dan alam sekitar. 


Menurut laporan itu, Kementerian Keselamatan wilayah haram Israel telah memulakan kerja-kerja pembinaan parit khas bagi menempatkan buaya. Projek berkenaan dilaporkan menjadi kenyataan selepas Menteri Perlindungan Alam Sekitar rejim Israel, Idit Silman mengklasifikasikan buaya Nil sebagai haiwan liar yang dijinakkan, walaupun mendapat bantahan daripada pegawai dan pakar dalam kementeriannya sendiri.


Laporan itu turut menyatakan bahawa Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) telah menyediakan pelan khas bagi penjagaan, penyeliaan dan penempatan buaya, manakala pegawai penjara turut diberikan latihan untuk mengendalikan haiwan berkenaan.


Sebanyak 21 juta shekel (kira-kira AS$6.3 juta) diperuntukkan bagi melaksanakan projek tersebut.


Sejak diumumkan, projek itu mencetuskan kontroversi di negara haram Israel, dengan pakar undang-undang dan alam sekitar mempersoalkan asas perundangan serta justifikasi profesional penggunaan buaya sebagai sebahagian daripada sistem keselamatan penjara.


Sebelum ini, Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben Gvir, pernah menyiarkan rakaman video blok khas di Penjara Ketziot bagi memaparkan keadaan tahanan Palestin. Rakaman itu menunjukkan mereka dilarang keluar dari blok tahanan, dinafikan selimut dan makanan yang mencukupi, serta dipaksa tidur di atas kepingan besi dalam keadaan yang disifatkan sebagai layanan tidak berperikemanusiaan.


Sumber: PALM Strategic Initiative Centre 

Written by
Admin
Published on
July 23, 2026