Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel secara rasmi mengisytiharkan penempatan haram Givat Zeev di barat laut Baitul Maqdis  sebagai sebuah bandar, menjadikannya penempatan haram kelima di Tebing Barat yang diberikan status tersebut.

Penempatan haram Givat Zeev dibina pada 1977 di atas tanah yang dirampas daripada tiga perkampungan Palestin, kira-kira lima kilometer dari barat laut Baitul Maqdis. Kini, lebih 25,000 pendatang haram Yahudi menetap di kawasan itu, yang menurut undang-undang antarabangsa merupakan penempatan haram.

Menteri Kewangan rejim Israel, Bezalel Smotrich menyifatkan pengisytiharan itu sebagai sebahagian daripada ‘revolusi penempatan’ yang sedang dilaksanakan kerajaan Israel menerusi pembinaan penempatan baharu, pengesahan penempatan haram serta peluasan rampasan tanah Palestin.

Langkah itu dibuat susulan kelulusan kabinet rejim Israel terhadap pembinaan 13 lagi penempatan haram baharu di tengah Tebing Barat yang diduduki. Smotrich turut memaklumkan bahawa peluasan tersebut akan diteruskan ke wilayah Naqab dan Galilee bagi memperkukuh kawalan demografi dan geografi rejim Israel.

Penempatan baharu itu dibina di sepanjang laluan strategik, khususnya jalan 60 yang menghubungkan bandar-bandar utama Palestin seperti Nablus, Ramallah dan Baitul Lahm (Bethlehem), selain kawasan yang menghala ke lembah Jordan.

Menurut kerajaan haram Israel, peluasan penempatan itu bertujuan memperkukuh kawalan rejim ke atas Tebing Barat, mengasingkan Baitul Maqdis timur daripada wilayah Palestin yang lain serta menghalang pembentukan sebuah negara Palestin yang bersambung secara geografi.Smotrich sebelum ini berulang kali menyatakan penolakannya terhadap penubuhan negara Palestin dan berikrar akan terus menggagalkan sebarang usaha ke arah itu. Pada Jun lalu, dia turut mengumumkan rampasan 465 dunum tanah milik rakyat Palestin berhampiran Ramallah bagi memperluas projek penempatan haram.

Pada Februari 2026, kerajaan haram Israel meluluskan dasar yang membolehkan kawasan tanah milik rakyat Palestin didaftarkan sebagai ‘tanah rasmi negara’, sekali gus membuka laluan kepada rampasan tanah terbesar sejak 1967. Sejak 2022, peruntukan kerajaan Israel bagi memperluas penempatan haram turut meningkat dengan ketara.

Dalam masa yang sama, keganasan oleh pendatang haram Yahudi terhadap rakyat Palestin dilaporkan meningkat sebanyak 130 peratus sejak 2023. Dengan perlindungan tentera rejim Israel, kumpulan pendatang haram terus menyerang komuniti Palestin, membunuh penduduk, membakar rumah dan premis perniagaan, memusnahkan tanaman serta merampas tanah dan sumber air milik rakyat Palestin.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 13, 2026