.png)
Rejim Israel kembali melancarkan serangan udara ke selatan Lubnan hanya beberapa hari selepas memeterai satu perjanjian yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan peperangan di antara kedua-dua pihak. Serangan tersebut berlaku pada Ahad, dua hari selepas rangka perjanjian tersebut ditandatangani di Washington susulan lima pusingan rundingan.
Kedua-dua pihak mendakwa perjanjian itu sebagai kemenangan mengikut tafsiran masing-masing. Namun, perjanjian tersebut ditolak oleh Hezbollah serta golongan pelampau kanan di Israel, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada perjanjian itu mampu bertahan atau tidak.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan beberapa siri serangan di selatan negara itu pada Ahad. Sehari sebelum itu, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan seorang terbunuh dalam serangan Israel, menjadikannya kematian pertama sejak perjanjian berkenaan dimeterai.
Pesawat rejim Israel turut dikesan beroperasi di ruang udara Lubnan dan NNA melaporkan beberapa dron berlegar di bandar Baalbek di timur laut negara itu manakala pesawat pejuang melakukan penerbangan provokatif di kawasan tanah tinggi berhampiran.
Tentera rejim Israel turut mengumumkan bahawa seorang anggotanya, Kapten David Hazutt, 21, Komander Platun Briged Golani terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan, manakala seorang lagi cedera ringan.
Ketua tentera Israel mengesahkan operasi ketenteraan di zon berkenaan akan diteruskan dan menyifatkannya selaras dengan syarat gencatan senjata.
Sebagai rekod, perjanjian antara Lubnan dan Israel dimeterai pada Jumaat di Washington. Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyifatkannya sebagai permulaan kepada satu permulaan.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam pula berkata perjanjian itu bertujuan memastikan pengunduran Israel dari seluruh wilayah Lubnan. Namun, kandungan perjanjian itu dilihat tidak mewajibkan Israel berundur tanpa syarat. Sebaliknya, pengunduran tenteranya dikaitkan dengan pelucutan senjata Hezbollah.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata tenteranya sedang bersedia untuk berada lebih lama di zon penampan dan akan terus kekal selagi Hezbollah masih menyimpan senjata. Ketua Hezbollah, Naim Qassem, menolak perjanjian tersebut dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan serta penyerahan kedaulatan. Beliau turut menegaskan pejuangnya tidak akan meninggalkan medan pertempuran.
Ahli Parlimen Hezbollah, Hassan Fadlallah, berkata sebarang usaha tentera Lubnan untuk melaksanakan perjanjian itu berisiko mencetuskan konflik dalaman, ketika penyokong mengadakan protes di Beirut membantah perjanjian berkenaan.
Sumber: Al-Jazeera