.png)
Pusat Antarabangsa Baitul Maqdis memberi amaran bahawa rejim Israel sedang mempergiat usaha untuk mengubah status Masjid al-Aqsa dengan menguasai kira-kira 70 peratus kawasan kompleks suci itu, sekali gus membuka jalan kepada pembahagian ruang secara kekal.
Presidennya, Dr. Hassan Khater berkata sejak menduduki Baitul Maqdis Timur pada 1967, rejim Israel tidak pernah menghentikan usaha memperkukuh kawalan ke atas Masjid al-Aqsa. Menurut beliau, fasa terkini menyaksikan usaha mengubah identiti masjid daripada sebuah tempat ibadah umat Islam kepada kawasan yang tertakluk sepenuhnya di bawah kawalan keselamatan rejim Israel.
Beliau menjelaskan antara langkah paling membimbangkan ialah usaha mengasingkan kawasan timur Masjid al-Aqsa, termasuk Musolla Bab ar-Rahmah dan kawasan sekitarnya, untuk dijadikan zon keselamatan yang dikawal secara langsung oleh tentera rejim Israel. Tindakan itu katanya bertujuan melemahkan peranan Jabatan Wakaf Islam Baitul Maqdis di bawah pentadbiran Jordan serta menjejaskan hak penjagaan Hashemite yang diiktiraf melalui pelbagai perjanjian antarabangsa.
Khater turut merujuk kepada cadangan yang dikemukakan anggota Knesset daripada Parti Likud, Amit Halevi pada tahun 2023. Pelan itu mencadangkan agar rejim Israel mengambil alih kawalan ke atas kawasan Kubah as-Sakhrah, dataran tengah serta bahagian utara Masjid al-Aqsa, manakala umat Islam hanya dibenarkan beribadah di Masjid al-Qibli di bahagian selatan.
Menurut beliau, jika cadangan itu dilaksanakan, rejim Israel akan menguasai hampir 70 peratus daripada keseluruhan kawasan Masjid al-Aqsa yang berkeluasan 144 dunam (14.4 hektar). Beliau menyifatkan pelan itu sebagai peralihan daripada pembahagian masa dan ruang kepada penguasaan kekal, sama seperti yang pernah berlaku di Masjid Ibrahimi di al-Khalil.
Khater berkata tekanan terhadap kawasan timur Masjid al-Aqsa semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila pihak berkuasa rejim Israel didakwa menghalang kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan, selain menahan serta mengusir pengawal dan kakitangan penyelenggaraan masjid.
Beliau mendakwa langkah tersebut bertujuan mengurangkan kehadiran jemaah Islam di kawasan berkenaan, sambil menyediakan laluan tetap kepada pendatang haram Yahudi untuk menjalankan ritual Talmud di bawah perlindungan pasukan keselamatan tentera rejim Israel.
Sehubungan dengan itu, Khater menggesa negara-negara Arab dan Islam serta masyarakat antarabangsa mengambil tindakan bagi mempertahankan status sejarah dan undang-undang Masjid al-Aqsa serta menghalang sebarang usaha mengubah identiti dan pentadbiran masjid suci berkenaan.
Sumber: Shehab News