Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera haram Israel mendakwa telah mewujudkan garisan kuning di selatan Lubnan, sama seperti langkah ketenteraan yang digunakan di semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, tentera haram Israel berkata dalam tempoh 24 jam lalu, pasukannya yang beroperasi di selatan garisan kuning di Lubnan telah mengenal pasti individu yang didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata dan menghampiri pasukan dari arah utara garisan tersebut sehingga menimbulkan ancaman segera.

Ini merupakan kali pertama tentera haram Israel merujuk kepada garisan kuning di Lubnan, selepas gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Lubnan berkuat kuasa pada Khamis.

Sejak gencatan senjata di Gaza pada Oktober, garisan kuning yang diperkenalkan pihak penjajah telah membahagikan wilayah Palestin itu kepada beberapa zon. Kawasan timur dikawal tentera haram Israel manakala kawasan barat memberi sedikit kelonggaran pergerakan kepada rakyat Palestin.

Secara rutin, tentera haram Israel melepaskan tembakan ke arah sesiapa sahaja yang menghampiri garisan tersebut, selain memusnahkan ratusan rumah di kawasan bawah kawalan mereka. Serangan pihak penjajah telah mengorbankan sekurang-kurangnya 773 orang dan mencederakan lebih 2,000 yang lain sejak bermulanya gencatan senjata.

Wartawan Al Jazeera, Nour Odeh, melaporkan dari Ramallah bahawa pengumuman garisan kuning di Lubnan dilihat sebagai kesinambungan proses ‘peng-Gaza-an’ di selatan negara itu.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz sebelum ini menyatakan bahawa tenteranya diarahkan untuk memusnahkan kampung-kampung di sempadan Lubnan berdasarkan model Beit Hanoun dan Rafah, kawasan yang kini musnah sepenuhnya.

Walaupun terdapat gencatan senjata, pihak penjajah terus melancarkan serangan di selatan Lubnan. Serangan artileri pada Sabtu menyasarkan bandar Beit Leif, Qantara dan Touline, selain operasi pemusnahan rumah di beberapa kawasan.

Tentera haram Israel mengatakan bahawa serangan tersebut dilakukan sebagai tindak balas terhadap individu bersenjata yang menghampiri kawasan penempatan tenteranya di selatan Lubnan dan didakwa sebagai ancaman segera.

Menurut kenyataan itu, tindakan mempertahankan diri dan menyingkirkan ancaman segera tidak tertakluk kepada perjanjian gencatan senjata.


Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
April 20, 2026